Tuesday, 3 December 2013
Dua sungai di paras bahaya
SENAI - Dua sungai utama di negeri ini, dilaporkan berada pada paras bahaya membabitkan Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat apabila bacaan paras air melebihi tahap normal yang ditetapkan.
Menurut portal info banjir, bacaan air oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bagi Sungai Muar di stesen Kampung Awat sehingga jam 5 petang, semalam, mencecah 20.09 meter melebihi paras normal 19.95 meter.
Manakala, bacaan Sungai Batu Pahat di stesen Sungai Lenik, Ladang Chaah mencatat bacaan 6.17 meter melebihi paras normal 6.00 meter.
Sementara itu, bacaan Sungai Muar di stesen Buloh Kasap berada di peringkat jingga apabila bacaan paras air mencecah 8.60 meter berbanding paras normal 9.14 meter.
Orang ramai digalakkan menyimpan nombor perhubungan penting dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Penduduk khususnya yang berada di kawasan rendah diminta sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sekiranya kediaman dinaiki air.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir serta menyimpan dokumen penting dalam bekas di tempat tinggi selain mudah diambil jika perlu berpindah.
Sebagai persediaan, orang ramai turut digalakkan menyediakan barangan keperluan asas untuk berpindah dan menyimpan air bersih dalam botol untuk memasak dan minum.
--Sharian