Monday, 2 December 2013
Hasrat hantar adik tidak kesampaian
KOTA BHARU - Hasrat seorang kakak untuk menghantar adiknya ke tempat kerja tidak kesampaian selepas adiknya maut dalam kemalangan di Simpang Tiga Tiong, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, penunggang, Nor Rashidah Mohd Sapawi, 24, mengalami kecederaan ringan manakala adiknya, Noraidawatie Irnie Mohd Sapawi, 19 parah dan maut di tempat kejadian, selepas motosikal yang ditunggang Nor Rashidah dirempuh sebuah lori muatan batu.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.45 pagi itu, menyebabkan kedua-duanya diseret hampir 10 meter sebelum pemandu lori itu menyedari melanggar motosikal terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komosioner Azham Othman, berkata, secara tiba-tiba lori berkenaan yang diparkir di bahagian kanan jalan menukar haluan ke kiri selepas motosikal yang ditunggang Nor Rashidah sampai di lampu isyarat Perodua dan melanggar belakang motosikal.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-duanya terjatuh dan diseret, namun penunggang hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan pesakit luar manakala pembonceng maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
“Mangsa yang maut di bawah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut untuk urusan pengebumian.
“Pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa Mohd Sapawi Che Mat,48, berkata, Noraidawatie yang merupakan anak kelima dari lapan beradik seorang yang peramah dan suka bergurau senda.
“Dia memang rapat dengan keluarga, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum pemergiannya, hanya beberapa hari lalu dia gembira selepas diterima bekerja di KB Mall sebagai jurujual di pusat membeli belah terbabit.
“Apa pun saya redha dengan kejadian ini walaupun masih sedih dan terkejut dengan dan mengharapkan rohnya ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman,” katanya.