Tuesday, 3 December 2013
Hulu Berang mula dilanda bah
HULU TERENGGANU - Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kampung di daerah ini khususnya di Mukim Hulu Berang mula dilanda banjir semalam, dan lima keluarga terpaksa berpindah.
Antara kampung terlibat ialah Kua, Pengkalan Ajal, Menerong, Peneh dan Lubuk Periuk.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk juga mengambil langkah awal dengan meletakkan kenderaan mereka di tempat tinggi termasuk atas jambatan.
Sebanyak lima keluarga dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Ajal mula berpindah sekitar jam 5 pagi semalam ke rumah saudara-mara, sementara laluan di kampung berkenaan juga ditutup untuk kenderaan ringan.
Seorang mangsa banjir, Raja Aziz Raja Ngah, 54, berkata, dia dan empat keluarga lain berpindah setelah paras air naik mendadak berikutan limpahan Sungai Berang.
Menurutnya, rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter sekitar jam 3.30 pagi semalam.
“Seperti biasa, saya dan beberapa keluarga dari rumah PPRT lain menjadi kumpulan pertama berpindah jika banjir. Lazimnya, kami sudah dapat menjangka, tetapi kali ini kurang tepat. Petang semalam (kelmarin), sungai belum melimpah tebing, tidak sangka malam tadi (semalam) paras air naik mendadak.
"Berbekalkan lampu suluh, kami mengharungi air ke Masjid Pengkalan Ajal. Secara keseluruhannya seramai 19 penduduk daripada lima keluarga telah berpindah," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Raja Aziz berkata, rata-rata penduduk berpindah ke rumah saudara-mara terlebih dahulu sebelum berpindah ke pusat pemindahan banjir, petang semalam.
Dia tidak menolak jumlah mangsa banjir akan bertambah memandangkan hujan masih belum reda.
Menurutnya, walaupun paras air naik mendadak, tetapi dia sempat memindahkan barang-barang ke tempat selamat biarpun dalam keadaan kelam kabut.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan penduduk di PPRT itu dipindahkan beberapa kali sepanjang musim tengkujuh kerana lazimnya banjir berlaku sehingga gelombang ketiga, manakala rumah mereka akan digenangi air hampir seminggu.
--SHarian