Jabatan Meteorologi kesal orang ramai sebar khabar angin Tsunami DI FB
Written By Berita Setiap Hari on Friday, 27 December 2013 | 18:54
Kuala Lumpur: Masyarakat sepatutnya tidak cepat membuat telahan dan mempercayai sepenuhnya maklumat bencana alam yang diperoleh di laman sosial, tanpa merujuk agensi berkuasa terlebih dulu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Che Gayah Ismail berkata, pihaknya kesal apabila terdapat pihak yang menyebar maklumat palsu berhubung fenomena tsunami, sedangkan tiada amaran mengenainya dikeluarkan sehingga hari ini.
Katanya, kejadian begitu menyebabkan lebih ramai orang yang keliru, sedangkan pihaknya dan agensi bertanggungjawab di bawah prosedur operasi standard (SOP) menyelamat masih dalam keadaan tenang memantau situasi semasa.
“Jika ada amaran tsunami, semua agensi bertanggungjawab seperti polis, bomba dan sebagainya akan terus bertindak sebab kita mempunyai SOP yang jelas dalam hal ini, bahkan penduduk di kawasan berisiko sendiri sudah menjalani latihan amal sejak 2005.
“Jadi mereka tahu apa yang perlu dilakukan sejurus amaran keluar.
Namun setakat ini keadaan masih tenang dan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional (SAATN) tidak mengesan sebarang tanda kejadian gempa bumi di dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Che Gayah berkata, SAATN adalah sistem yang dibangun dengan kerjasama serantau dan antarabangsa, berupaya mengesan serta mengeluar amaran tsunami dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas gempa yang berkeupayaan mencetus ombak besar.
“Kena ingat kita memang tak boleh jangka bila gempa bumi akan berlaku, tetapi kita boleh menganggar bilakah ketibaan ombak, masanya dan ketinggian selepas gempa itu berlaku.
“Ini saja ramalan yang kita boleh buat.
Contohnya jika gempa yang bawa tsunami dikesan di Filipina, maka SAATN akan meramal bila ombak itu akan tiba di perairan negara, masa ketibaan, ketinggiannya dan kawasan mana akan terjejas.
“Dari situlah semua persediaan akan dilaksana, agensi akan bertindak di bawah SOP yang sudah ditetapkan.
Tapi buat masa ini memang tiada apa-apa yang berlaku, melainkan amaran cuaca biasa, angin kencang dan laut yang bergelora,” katanya.
Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai supaya merujuk laman web JMM atau menghubungi agensi berkenaan untuk maklumat sahih mengenai amaran bencana alam.
Jelasnya, JMM beroperasi setiap hari selama 24 jam dan mereka boleh dihubungi di 03-79678066/8126 dan cuaca di talian 0379678116/8119.
Kelmarin tersebar khabar angin kononnya berlaku tsunami termasuk di perairan negara dalam tempoh 36 jam akan datang, malah maklumat itu hangat diedar di laman sosial terutama selepas fenomena ribuan ikan tamban naik ke darat di Kampung Tambisan Darat Lahad Datu, jam 8 malam, Rabu.
Share this article :
Labels:
Semasa