Home » , » Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat Setakat Jam 4 pm

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat Setakat Jam 4 pm

Written By Berita Setiap Hari on Friday 6 December 2013 | 02:51


KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 7,337 orang petang ini berbanding 6,000 pagi tadi.
 
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) peningkatan yang paling ketara ialah di daerah Dungun daripada 2,668 kepada 4,340 petang ini.  

Katanya jumlah mangsa banjir di Kemaman juga meningkat kepada 97 orang iaitu daripada 2,375 orang pagi tadi kepada 2,472 orang petang ini.
 
Bagaimanapun di daerah Marang jumlah mangsa banjir menurun kepada 42 orang dan Hulu Terengganu berbaki 483 orang.
 
Menurut portal itu keadaan banjir di daerah Besut dan Setiu sudah pulih dan semua mangsa yang dipindahkan, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, membabitkan enam orang daripada dua keluarga di Besut dan 99 orang di Setiu.
 
Berikutan itu, MKN berkata empat pusat pemindahan di daerah Setiu dan sebuah di Besut, yang dibuka sejak dua hari lepas, ditutup hari ini.
 
Sejumlah 1,810 keluarga masih berada di 70 pusat pemindahan sehingga 4 petang ini berbanding 82 pusat pada sebelah pagi.
 
Pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi 32 di Dungun, Hulu Terengganu (lima), Kemaman (31) dan Marang (dua).
 
Sementara itu Pegawai Meteorologi Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Khairul Najib Ibrahim berkata setakat 12 tengah malam tadi, jumlah hujan yang turun di Terengganu berkurang kepada 17mm berbanding 60mm sebelum ini dan amaran hujan peringkat jingga serta kuning yang dikeluarkan bagi negeri ini sudah ditarik balik pagi semalam.
 
Jabatan itu meramalkan hujan akan turun renyai-renyai sepanjang tempoh hari ini hingga 8 Disember dan cuaca bertambah baik selepas 9 Disember.
 
"Amaran angin kencang dan laut bergelora pada kategori ketiga dengan angin dari arah timur laut berkelajuan lebih 60ksj dan ketinggian ombak boleh mencapai melebihi 5.5m berlaku di perairan Terengganu sehingga Isnin," katanya ketika dihubungi Bernama.
 
Menurutnya keadaan itu berbahaya untuk semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak. - Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger