Kenaikan tarif elektrik masih belum cukup - TNB
Written By Berita Setiap Hari on Sunday 22 December 2013 | 02:01
PUTRAJAYA 19 Dis. - Kenaikan tarif elektrik baharu berkuat kuasa 1 Januari 2014, masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan Tenaga Nasional Bhd (TNB), kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan.
"TNB masih perlu meminjam untuk bangunkan infrastruktur berikutan infrastruktur sedia ada di Semenanjung Malaysia sudah berusia, dengan sistem pembekalan atau penghantaran baharu perlu dibangunkan dari selatan ke Lembah Klang, yang memerlukan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit.
"Begitu juga loji jana kuasa baharu perlu dibina dan ini membabitkan banyak sumber kewangan untuk 20 tahun akan datang, terutama semakin banyak loji jana kuasa yang ditamatkan operasi akibat tamat tempoh," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita pada 'Sesi Penerangan Penetapan Tarif Elektrik Di Semenanjung Malaysia' yang disertai lebih 40 wakil dari Persatuan Industri dan Pengguna, di sini hari ini.
Beliau berkata, TNB membelanjakan sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion setiap tahun untuk perbelanjaan modal dan penyenggaraan infrastruktur, berbanding keuntungan direkodkan tahun ini sebanyak RM4.6 bilion.
Menurut Ahmad, sebagai agensi kawal selia, Suruhanjaya Tenaga akan memantau secara teliti kecekapan operasi dan setiap perbelanjaan TNB mulai tahun hadapan.
"Setiap bulan, TNB perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Tenaga berhubung prestasi kualiti perkhidmatan, kos-kos yang terbabit. Tahun depan pula, Suruhanjaya Tenaga akan lebih rapi memantau kos-kos yang dibiayai oleh TNB untuk membekalkan elektrik.
"Kita akan pastikan hanya kos-kos yang efisien atau cekap sahaja yang boleh dimasukkan ke dalam tarif. Kos-kos yang tidak efisien, tidak dibenarkan masuk ke dalam tarif," katanya.
Berkuat kuasa 1 Januari, purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan naik sebanyak 4.99 sen/kwj kepada 38.53 sen/kwj daripada 33.54 sen/kwj pada masa ini.
Sebelum ini Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Azman Mohd. berkata, tarif elektrik baharu itu merupakan sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk mengukuhkan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. - BERNAMA
Share this article :
Labels:
Semasa