Tuesday, 3 December 2013
Maaf Tanpa Keikhlasan, Bukti Kerajaan DAP Pun Ibarat Kerajaan ‘Kucing Kurap’
KUALA LUMPUR, 3 Dis. – Permohonan maaf yang dibuat oleh Ahli Parlimen Dap, Jeff Ooi tidak berlandaskan keikhlasan atau lahir dari hatinya kerana ia dibuat hanya selepas diarahkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013 baru-baru ini.
Bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menganggap sewajarnya Jeff Ooi membuat permohonan maaf tanpa perlu diarah oleh sesiapa apatah lagi kenyataan yang dikeluarkan amat mengguris hati.
“Ini kesilapan dia sendiri maka sepatutnya dia kena ikhlas minta maaf kepada penjawat awam rendah yang telah dihinanya dan bukannya kerana Karpal Singh,” katanya kepada UMNO-Online.
jeff-ooi-lim-guan-eng-dap-rasis-parti-kucing-kurap-tokong-penang
Dilaporkan, Jeff Ooi meminta maaf di atas gelaran ‘kucing kurap’ yang dilemparkan terhadap kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bulan lalu namun tindakan tersebut dilakukan selepas diarah berbuat demikian dan menurutnya tiada orang lain selain Karpal yang boleh mengarahkan beliau menarik balik dan meminta maaf di atas kenyataan yang dibuat.
“Sepatutnya dia tak boleh salahkan kakitangannya apabila mereka tak laksanakan kerja kerana yang patut dipersalahkan adalah kepimpinan atasan iaitu mereka sendiri.
“Dia tak boleh kata orang ‘kucing kurap’ hanya kerana kesalahan yang sedemikian dan bayangkanlah kalau orang kata pada dia ‘kucing kurap’ maka apa perasaan dia pula.”
Tegasnya, sebagai pemimpin dia perlu memikirkan perasaan orang lain sebelum bercakap, kalau kegagalan pegawai dan penjawat awam dalam MPP berkenaan maka bermakna ia juga adalah kegagalan kerajaan negeri kerana MPP tersebut diletakkan di bawah kerajaan negeri.
“Sikap sedemikian langsung tidak gambarkan apa yang jadi slogan mereka dalam kerajaan negeri iaitu cekap, akauntibiliti dan telus (CAT).
“Untuk apa mereka persalahkan penjawat awam sedangkan yang sebenarnya mereka cuba nak alihkan isu dari kegagalan dalam pentadbiran mereka sendiri.
“Mereka cuba alihkan tumpuan rakyat daripada melihat kegagalan mereka, tuduh kita tak buat kerja dan macam-macam lagi sedangkan jika benar dalam MPP ada kelemahan, ada ‘little nepolean’, ada yang gunakan kuasa maka tentunya mereka akan lebih mudah mengetahuinya kerana MPP berada di bawah kuasa mereka”, ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam.
Ujarnya, takkanlah mereka tidak tahu siapa yang ada dalam MPP itu sendiri walhal anggota di dalamnya dilantik oleh kerajaan negeri dan semua pegawai di dalamnya adalah tanggungjawab kerajaan negeri.
“Dia kata pegawai rendah ‘kucing kurap’ maka samalah dengan dia kata kerajaan tadbirannya sendiri ‘kucing kurap’.
“Dia ahli Parlimen di Pulau Pinang yang juga menjawat ketua kakitangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, maka kalau MPP gagal maknanya dia mengata kerajaannya sendiri,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO