Mangsa Banjir Tahu Siapa Datang Bantu, Siapa Yang Main Wayang Politik – Sharkar
Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 12 December 2013 | 05:24
TEMERLOH, 12 Dis – Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menyelar tindakan sesetengah pihak yang sering menuding jari kepada UMNO termasuklah di dalam isu banjir kononnya UMNO tidak membantu mangsa banjir.
Jelasnya, adalah tidak adil untuk menuduh UMNO tidak membantu kerana kebetulan ketika negara di landa banjir, Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung di PWTC.
“Mengapa jika UMNO sahaja tidak betul… sedangkan ada pemimpin pembangkang dengan bangganya memuat naik gambar sedang bercuti ke luar negara.
“Perlu diketahui, walaupun UMNO sedang bersidang ketika itu ini tidak membawa makna kita tidak membantu. Ramai pemimpin-pemimpin dan ahli yang tidak turun (ke Perhimpunan Agung UMNO) kerana bertugas membantu setiap mangsa banjir. Malah arahan telah keluar di negeri Pahang khususnya, semua wakil rakyat tidak dibenarkan ke perhimpunan dan harus berada di kawasan masing-masing.
“Ini jelas membuktikan bahawa kita lebih mementingkan tanggungjawab sosial yang telah diamanahkan oleh rakyat. Perhimpunan Agung tetap berlangung dengan baik kerana bukan semua negeri terlibat dengan banjir”, jelasnya kepada UMNO-Online.
Justeru tegas beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO semua tuduhan terhadap UMNO adalah retorik pembangkang yang hanya tahu memanipulasikan keadaan demi kepentingan mereka.
“Tetapi saya amat yakin semua mangsa banjir tahu situasi sebenar, siapa yang bantu mereka siapa yang main wayang politik. Badan-badan kerajaan, NGO dan jentera UMNO sehingga hari ini masih terus membanting tulang membantu mangsa banjir.
“Saya sendiri baru sahaja pulang daripada gotong royong memasak untuk mangsa yang telah pulang ke rumah. Walaupun mereka telah pulang ke rumah sudah pasti mereka masih tidak mampu untuk memasak kerana keadaan rumah yang rosak teruk dan banyak kerja pembersihan perlu dilakukan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, walau apapun kecaman yang diterima, UMNO akan mengambil ini sebagai satu cabaran untuk terus bergerak membantu rakyat tanpa ada sedikitpun rasa terkilan atau terguris hati.
“Cakaplah apa yang mereka mahu cakap. Kita akan terus menjalankan tanggungjawab kita. Nak tuduh kita apapun tuduhlah. Apa yang penting bagi kita adalah semua mangsa dibantu sebaik mungkin dan kita sendiri akan merangka strategi bagi menambahbaikkan apa yang perlu,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, ada sesetengah pihak yang berkepentingan menuding jari menuduh UMNO tidak membantu mangsa banjir kerana sibuk menghadiri Persidangan UMNO yang berlangsung ketika itu. – MediaUMNO
Share this article :
Labels:
Politik