Friday, 20 December 2013
Maut dihempap pokok kelapa
ROMPIN - Seorang warga emas berketurunan Orang Asli maut dihempap sebatang pokok kelapa yang ditebang penduduk Kampung Simpang Sepayang, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Tan Kok Tow @ Tan Ah Kaw, 68, berkunjung ke rumah rakannya, Idris Abdullah, 52, untuk berbual.
Bagaimanapun, mereka tidak sempat berbual panjang kerana mangsa secara sukarela memaklumkan ingin membantu jiran Idris yang ketika itu sedang menebang sebatang pokok kelapa.
Menurut Idris, mangsa bersama penduduk lain menarik tali yang diikat pada pokok namun malangnya mangsa tidak sempat melarikan diri apabila pokok tumbang.
“Kami tak sempat berbual panjang kerana dia bergegas untuk bantu jiran saya menarik tali yang ditambat pada pokok kelapa yang hendak ditebang.
“Apa yang menyedihkan, dia menjerit mengarahkan semua orang supaya lari menyelamatkan diri tetapi malangnya, dia sendiri tidak sempat berbuat demikian dan akhirnya dihempap pokok berkenaan,” katanya.
Sejurus itu katanya, orang ramai berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit namun gagal menyebabkan mereka menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Masih terngiang-ngiang suara mendiang kerana dia sangat rapat dan sering datang ke rumah saya untuk berborak.
“Dia memang suka tolong orang walaupun tidak diminta berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Johari Jahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris,” katanya.
--Sharian