Home » » Panjat tembok masuk Malaysia

Panjat tembok masuk Malaysia

Written By Gaha Belako on Thursday, 26 December 2013 | 22:33


Padang Besar: Batalion ke-18 Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan beberapa kawasan di tembok konkrit sempadan Malaysia-Thailand di sini, yang menjadi laluan masuk pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

Tinjauan bersama anggota PGA mendapati besi yang menjadi penyokong dawai kawat di atas tembok konkrit antara kawasan kawalan TS11 dan TS12 berhampiran Padang Besar dipotong serta dilipat sehingga terbentuk lubang selebar satu meter.

Selain itu terdapat kesan geseran pada dinding tembok serta beberapa barangan ditinggalkan seperti pakaian, selimut, tilam dan bantal kecil serta beberapa bungkusan makanan dan minuman.

Komander Kompeni A Batalion Ke-18 PGA Asisten Superintendan Zakaria Said berkata, pihaknya mengesan situasi itu sejak Sabtu lalu selain mendapati semak-samun lalang diratakan di lereng bukit selain kesan runtuhan kecil berhampiran laluan keselamatan dekat tembok konkrit sempadan.
Menurutnya, sepasukan anggota PGA diketuai Inspektor Shahurin Abdul Hamid membuat intipan jam 3 pagi Ahad lalu dan berjaya menahan seramai 32 orang pendatang asing tanpa izin warga Myanmar ketika mereka sedang berkeliaran di atas jalan keselamatan.

“Pemeriksaan mendapati mereka terdiri daripada 10 kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, sembilan lelaki dan lapan perempuan berusia antara dua hingga 35 tahun didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Sebahagian besar pendatang asing tanpa izin yang berjaya ditangkap itu mempunyai hubungan suami isteri dan kanak-kanak yang turut ditangkap adalah anak kepada beberapa pasangan di kalangan mereka,” katanya, di sini, semalam.
--Hmetro
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger