Saturday, 14 December 2013
Pencuri tak peduli sergahan jiran
Kajang: Sekumpulan empat lelaki berusia lewat 20-an layak digelar ‘berhati kering’ apabila tidak mempedulikan sergahan jiran ketika sedang memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Permai, di sini.
Sebaliknya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Selasa lalu, kumpulan terbabit mengugut mencederakan jiran mangsa sebelum mengarahkannya mendiamkan diri.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lai, 29, berkata, dalam kejadian itu, dia kerugian lebih RM13,000.
Beliau berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja.
“Jiran saya ada ternampak empat lelaki memotong pagar rumah sebelum menyergah mereka bertujuan menakutkan kumpulan itu.
“Namun kumpulan itu langsung tidak mempedulikan sergahan itu sebaliknya mengugut jiran saya supaya tidak campur tangan jika tidak mahu dicederakan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Menurutnya, kumpulan itu terus mengumpil pintu rumahnya sebelum menyelongkar dan melarikan barangan berharga seperti televisyen, wang tunai, barang kemas dan dua kad kredit.
“Jiran saya segera menghubungi polis, namun mereka sudah meninggalkan rumah saya selepas pihak berkuasa tiba 30 minit kemudian,” katanya memberitahu, kumpulan penjenayah melarikan diri menggunakan MPV Toyota Estima.
Lai berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya itu ketika pulang ke rumah jam 8 malam.
“Jiran gagal menghubungi saya, namun berterima kasih kepadanya kerana melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
“Saya yakin, sekiranya pasukan polis datang ke lokasi kejadian lebih awal, kumpulan terbabit ditangkap,” katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukannya mendapati, kumpulan penjenayah terbabit turut membeli berlian bernilai RM10,000 di sebuah pusat beli belah di ibu kota menggunakan kad kreditnya.
Sehubungan itu, Lai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini.
--Hmetro