Home » » 1.8 hektar hutan terbakar

1.8 hektar hutan terbakar

Written By Berita Setiap Hari on Monday 27 January 2014 | 17:46


DUNGUN – Kira-kira 1.8 hektar hutan paya gambut di kawasan hutan simpan dekat sini musnah dalam kebakaran yang disifatkan terburuk pada tahun ini.

Kejadian bermula petang Sabtu lalu, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan secara terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum merebak ke kawasan kebakaran sehingga memusnahkan sebahagian hutan di situ.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, kebakaran dipercayai bermula di bawah laluan voltan tinggi di Kampung Bahagia Tok Kah.

Menurutnya, ketiadaan laluan masuk ke lokasi kebakaran menyukarkan pihaknya membawa masuk jentera bomba, namun api di 0.5 hektar daripada 1.8 hektar hutan itu berjaya dikawal hasil operasi berterusan selama tiga hari berturut-turut.

"Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan sumber air daripada parit dan tadahan air di kawasan sekitar, namun ia dikatakan masih belum mencukupi untuk menampung keluasan hutan yang terbakar.

“Keadaan angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan hutan berdekatan. Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan dalam tempoh operasi, kita berjaya mengawal sebahagian daripada api berkenaan,” katanya.

Azizi berkata, kebakaran itu menyebabkan kawasan berdekatan termasuk bandar Dungun diselubungi asap tebal sehingga mengehadkan jarak pandangan sehingga 80 meter.

Katanya, keadaan amat ketara pada awal pagi kerana angin bertiup dari arah barat ke pantai menyebabkan jalan raya turut berjerebu, sehubungan itu pengguna jalan raya dinasihatkan agar lebih berhati-hati.

“Kita harap penduduk setempat tidak melakukan pembakaran secara terbuka ketika membuat kerja pembersihan hutan kerana ia memberi kesan amat buruk kepada alam sekitar.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kompaun RM2,000,” katanya.

Kejadian sama juga pernah berlaku di beberapa lokasi termasuk hutan paya bakau di Rantau Abang dan Batu Tujuh.
---Sinar Harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger