Home » » Derhaka ingkari titah Agong

Derhaka ingkari titah Agong

Written By Gaha Belako on Sunday, 26 January 2014 | 17:10


PASIR MAS - Individu atau kumpulan yang mengingkari titah Yang dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut agama lain disifatkan sebagai penderhaka.

Setiausaha Umno Negeri, Datuk Hanafi Mamat berkata, mereka yang mengingkari titah berkenaan seharusnya dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Ia bagi memberikan pengajaran dan mengelakkan perkara tersebut daripada terus berulang. Perkara ini harus dipandang serius demi menjaga kepentingan dan kesucian agama Islam negara ini,” katanya.

Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Maulidur Rasul anjuran Wanita Umno Bahagian bagi Dun Chetok dan Limbongan di sini, semalam.

Hadir sama ialah, Ketua Wanita Umno Bahagian, Datin Shuhanie Deraman.

Menurutnya yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas berkata, apa yang berlaku sekarang amat merisaukan lebih-lebih lagi apabila ada golongan  yang mempertikaikan titah Yang dipertuan Agong sebagai ketua agama Islam.

Beliau berkata, sepatutnya sebagai rakyat Malaysia mereka perlu menghormati titah tersebut.

Hanafi berkata, lebih memburukkan lagi keadaan apabila di kalangan orang Islam sendiri berani mempertikaikan dan turut sama menyokong tindakan tersebut tanpa rasa malu dan bersalah pada agama.

“Sudah tiba masanya umat Islam di negara ini bersatu padu dalam semua perkara yang berkaitan dengan agama.

“Perbalahan melibatkan fahaman politik perlu segera dilupakan dengan meletakkan agama sebagai asas perpaduan demi kepentingan Islam di negara ini,” katanya.

Menurutnya, perpaduan tersebut sepatutnya sudah lama berlangsung demi kepentingan agama Islam.

Sebelum itu akhbar tempatan ada melaporkan Yang dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, kalimah ALLAH merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain.
--SinarHarian
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger