Home » » Tercampak 9 meter langgar kerbau

Tercampak 9 meter langgar kerbau

Written By Berita Setiap Hari on Monday 27 January 2014 | 17:24


KEMAMAN – “Sebelum keluar rumah, abah bergurau mengatakan saya pakai baju serupa dengan ibu,” kata anak mangsa kemalangan maut langgar kerbau, Abdullah Abdul Rashid, 50, yang tidak menyangka gurauan itu rupanya petanda ajal bapanya.

Abdullah yang juga tukang kayu maut di tempat kejadian selepas tercampak ke tengah jalan sejauh 9 meter dalam kemalangan di Kilometer 157.9 Jalan Jerangau-Jabor berdekatan Ladang Ketengah Perwira, Bandar Cheneh Baru, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk ke rumah seorang lagi anaknya, Hayati Abdullah, 28, di Kampung Sungai Karang Balok, Kuantan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak sempat mengelak apabila kerbau melintas jalan secara tiba-tiba dan pelanggaran kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dan cedera parah di kepala serta badan.

Permaisuri, 27, berkata, bapanya tidak pernah bergurau sedemikian dan dia juga pelik apabila kata-kata itu terpacul daripada mulut bapanya.

“Ibu yang berada bersama kami ketika itu, hanya mampu tersenyum. Selepas bergurau, abah kata dia mahu pergi ke rumah kakak, ada hal penting katanya.

“Kebiasaannya selepas pulang dari tempat kerja sekitar jam 6 petang, abah jarang keluar rumah, namun berbeza pada hari ini (kelmarin),” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman untuk menuntut jenazah, malam kelmarin.

Menurut Permaisuri lagi, kakaknya juga sangat terkejut selepas diberitahu menerusi telefon yang bapanya itu meninggal dalam perjalanan ketika menuju ke rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit kerana sebelum itu, sudah ada kes penunggang motosikal melanggar kerbau.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, pelajar tingkatan tiga, Mohd Isma Nizam Razali, 15, yang putus tangan serta hancur kaki dan paha selepas terlibat dalam kemalangan di hadapan sebuah pasar raya di Kijal tiga hari lalu, meninggal dunia kira-kira jam 11.48 malam kelmarin.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di wad unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
---Sinar Harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger