Tuesday, 1 July 2014

4 mat gian ditahan


BESUT - Empat lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas dalam satu serbuan ketika sedang asyik bermain daun terup di sebuah rumah kosong di Kampung Batang Gergaji dekat Jabi, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, semua suspek berusia antara 27 hingga 45 tahun tidak sempat melarikan diri.

Polis turut merampas 634 pil dipercayai dadah bersama tunai bernilai RM70, sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Asisten Superintendan Shamsuddin Abas.

Menurutnya, ketika serbuan, empat lelaki berkenaan sedang bermain daun terup di atas sebuah meja dengan diterangi lampu suluh kepala.

“Hasil pemeriksaan beg sandang pada suspek berusia 27 tahun, polis mendapati di dalamnya terdapat 628 pil berwarna kemerahan dan enam pil kehijauan disyaki dadah jenis methamphetamine (pil kuda).

“Suspek dari Jabi itu juga didapati mempunyai beberapa rekod dadah lampau termasuk kali terakhir pernah dijatuhkan hukuman denda pada September tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri yang disorokkan di bawah bangku tempat mereka berkumpul.

Suspek yang tidak pernah serik dengan perlakuan jenayah itu bersama tiga lagi rakannya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Saringan awal air kencing juga mendapati semua suspek dari Jabi dan Jertih itu positif pil kuda.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori dan Seksyen 12(3) akta yang sama,” katanya.

--sinar