Home » » Lelaki bersenjata rampas motosikal

Lelaki bersenjata rampas motosikal

Written By Berita Setiap Hari on Friday, 4 July 2014 | 00:24


BESUT - Seorang wanita trauma apabila diacu sebilah pisau oleh seorang lelaki sebelum motosikal ditungganginya dilarikan suspek dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di tepi jalan Kampung Amer dekat Alor Lintang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenal sebagai Siti, 23, berkata, dia yang menunggang motosikal dari arah Kampung Amer menghala ke Alor Lintang tiba-tiba dipotong sebuah kereta Perodua Viva Putih dinaiki dua lelaki yang kemudiannya bertindak menghalang perjalanannya.

Menurutnya, dia menyedari kereta itu berada di belakang motosikalnya ketika melepasi SK Amer, kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

“Saya terpaksa berhentikan motosikal akibat dihalang kereta itu, sebelum seorang lelaki keluar dan meluru ke arah saya. Dia menghampiri sambil acu satu objek mungkin pisau ke bahagian perut  saya sambil beritahu mahukan motosikal,” katanya.

Siti berkata, suspek kemudian memecut laju motosikal itu disusuli rakannya yang memandu kereta ke arah persimpangan lampu isyarat SK Tengku Mahmud.

Disebabkan terkejut, Siti hanya menghubungi abangnya kira-kira 10 minit kemudian bagi meminta bantuan.

Abang mangsa kemudian menghubungi polis dan gerakan mencari dilakukan pasukan polis termasuk Unit Ronda Bermotosikal (URB), malah abang mangsa turut mencari dengan dua kereta berasingan.

“Akhirnya abang dapat mengesan motosikal saya ditinggalkan di sebuah bengkel selepas satu daripada tayarnya bocor. Abang juga berjaya kesan dua lelaki yang menaiki kereta itu di Kampung Gong Nering,” katanya.

Siti berkata, abang dan adiknya yang menaiki kereta Proton Perdana sertaPerodua Kelisa mengejar suspek melalui jalan sawah ke arah Kampung Gong Terap, turut sama anggota URB dan anggota polis Balai Jertih.

Suspek diberkas selepas adik-beradik mangsa bertindak menghimpit kereta suspek sebelum terjatuh ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, dua suspek berusia 24 dan 28 tahun dari Jertih itu ditahan untuk membantu siasatan.

“Polis juga merampas alatan berbentuk T dipercayai digunakan untuk curi motosikal dan sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter. Saringan awal air kencing dapati suspek positif pil kuda. Suspek juga ada rekod lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger