Thursday, 9 October 2014
Dua lelaki bertempiaran lari
KAMPUNG RAJA - Dua lelaki dipercayai pencuri kabel Telekom Malaysia (TM) Berhad bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran polis dan penduduk kampung di lokasi mereka memproses kabel dekat Kampung Gong Jelutong dekat Tembila, di sini, kelmarin.
Menurut saksi, suspek melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran apabila melihat kira-kira 15 penduduk bersama polis dan wakil TM menghampiri kawasan sawah itu kira-kira jam 10.30 pagi.
Katanya, suspek turut meninggalkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero di tempat kejadian, setelah terkepung.
“Pada mulanya suspek ingin melarikan diri dengan Pajero, tetapi kehadiran pasukan polis menyebabkan suspek keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke arah ladang sawit.
“Saya ke lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi selepas dimaklumkan penduduk, kemudian kami mengintip aktiviti mereka selama dua jam sebelum yakin mereka sedang memproses mengeluarkan tembaga daripada kabel tersebut,” katanya.
Menurut saksi, perbuatan suspek dianggarkan dalam lingkungan 30-an itu disedari penduduk kampung yang terserempak dengan mereka di lokasi terpencil terbabit.
Katanya, suspek pada awalnya dikatakan tidak sedar kehadiran penduduk yang datang untuk menangkap mereka kerana menyangka penduduk ke situ hanya untuk ke sawah berhampiran.
"Polis dan penduduk yang berada di tempat kejadian turut menemui sejumlah kabel berhampiran kenderaan tersebut.
“Saya dapati nombor pendaftaran pada kenderaan, cermin dan cukai jalan juga tidak sama, dan mungkin kenderaan ini sering digunakan untuk aktiviti sama sebelum ini,” katanya.
Menurut saksi lagi, kenderaan tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, kabel itu dicuri suspek di kawasan Jalan Haji Wan Latif dekat Jertih pada Khamis lalu sebelum dibawa suspek ke kawasan tersebut, kelmarin.
Kejadian kecurian dikatakan kerap berlaku di Jalan Haji Wan Latif dan sehingga Oktober ini sahaja, sebanyak tiga kes kecurian kabel telah berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan pihaknya merampas kenderaan dan sejumlah kabel.
Menurutnya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk usaha memburu suspek.