Wednesday, 19 November 2014
Mata kail tersangkut di mata
TUMPAT - Seorang budak lelaki berusia 4 tahun terpaksa menahan sakit dua jam apabila mata kail berkarat tersangkut di matanya dalam kejadian di Kampung Kubang Batang, petang kelmarin.
Mangsa, Raja Aqiel Al-Hafiz Raja Fakurazi terkena mata kail selepas rakan perempuannya melontarkan mata kail itu ke sawah bersebelahan rumah pengasuhnya untuk memancing ikan tetapi tersangkut di mata mangsa.
Pancing tersebut dijumpai mangsa di dalam semak berdekatan rumah pengasuhnya dan kemudian diberikan kepada rakan perempuannya itu yang sebaya dengannya.
Kejadian kira-kira jam 6 petang disedari pengasuhnya selepas mendengar tangisan Raja Aqiel Al-Hafiz di halaman rumah dan abang mangsa, Raja Afiq Al-Fikri, 6, datang memberitahunya.
Sementara itu, bapa mangsa, Raja Fakurazi Raja Daud, 38, berkata, anaknya terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana mata kail itu tertusuk ke dalam dan melekat di kelopak mata bawah.
Menurutnya, mata kail yang tersangkut di mata anaknya berjaya dikeluarkan melalui pembedahan.
“Dia kini dalam keadaan stabil dan ditahan beberapa hari di wad untuk rawatan susulan,” katanya.
--- sinar harian