Thursday, 22 January 2015
Barang kemas bertukar duit syiling
KUALA BESUT - Seorang guru al-Quran mendakwa dipukau dua lelaki tidak dikenali sehingga menyebabkan dia kerugian kira-kira RM5,000.
Lebih menghairankan, dalam kejadian Selasa lalu, dia tidak menyedari sampul surat berisi barang kemas miliknya yang dikembalikan kepadanya rupa-rupa hanya mengandungi duit syiling.
Mangsa, Khatijah Muhammad, 66, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, dia dalam perjalanan ke sebuah kedai di Pekan Baru Kuala Besut seorang diri.
Dalam perjalanan itu, katanya, dia didatangi seorang lelaki berusia lewat 50-an bertanyakan rumah seorang bomoh di sekitar kawasan terbabit.
“Makcik cakap tak tahu.. kemudian datang seorang lagi lelaki berusia 30-an kononnya tak kenal lelaki pertama.
“Lelaki pertama kemudian beritahu.. saya langkah kanan kerana bertemunya sambil dia mengeluarkan sebiji batu berwarna perang seperti tembaga untuk diberikan kepada makcik,” katanya.
Khatijah berkata, lelaki itu juga mengeluarkan satu objek lain untuk diberikan kepada seorang lagi lelaki yang dipercayai berpura-pura tidak mengenalinya.
Menurutnya, lelaki pertama yang berpakaian kemas dan bersih serta memakai kopiah itu mendakwa dia datang dari Sarawak kemudian meminta dia memasukkan semua barang kemas yang dipakai ke dalam sampul surat bersama batu tembaga itu kononnya untuk memastikan batu tersebut benar-benar berkesan sebagai azimat.
“Makcik bagai dipukau dan hanya menurut arahannya tanpa membantah.. makcik masukkan dua cincin ke dalam sampul surat yang disediakan lelaki kedua.
“Lelaki pertama cuba menanggalkan rantai pada leher makcik tetapi makcik larang dan makcik tanggalkan rantai itu sendiri,” katanya.
Selepas memasukkan kesemua barangan kemas tersebut kata Khatijah, lelaki itu menyerahkan kembali satu sampul surat kepadanya sambil memberitahu dia kena mematuhi pantang larang iaitu jangan membuka sampul tersebut sebelum waktu Maghrib dan jangan beritahu sesiapa.
Lelaki berkenaan kemudian berlalu pergi sementara Khatijah berjalan menuju ke kedai yang terletak tidak jauh dari tempat itu untuk membeli barangan keperluan.
Katanya, keadaan dia ketika itu bagai kebingungan dan tidak banyak bercakap sehingga menyebabkan peniaga yang sememang mengenalinya kehairanan.
“Selepas selesai membeli di kedai itu makcik berjalan kaki pulang ke tempat makcik mengajar mengaji.. barulah terlintas untuk membuka sampul surat itu kerana mula mengesyaki sesuatu yang buruk
“Makcik terkejut sebaik membuka sampul surat mendapati hanya terdapat sejumlah kecil duit syiling dan bukan barang kemas makcik, batu juga tiada di dalam sampul itu,” katanya.
Tidak puas hati dengan tindakan dua lelaki berkenaan Khatijah kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek dan sebelum ini dua kes seumpama itu telah dilaporkan berlaku di daerah ini.