Tuesday, 6 January 2015
Bomoh didakwa cabul dalam tokong
SEREMBAN – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh, dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, kerana mencabul seorang perempuan berusia 21 tahun.
Walau bagaimanapun, Hoo Chee Liong, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dan mohon dibicarakan.
Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, dan memberi syarat tambahan supaya tidak mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mohamad Izwan menetapkan 6 Februari sebagai sebutan semula kes.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 25 Disember lalu, tertuduh yang masih bujang, didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang gadi, dengan niat mencabul kehormatannya dengan perbuatan tidak senonoh.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah bilik dalam Tokong Cina atas Bukit Taman Nyior Rahang, jam lebih kurang 2.30 pagi.
Dengan ini, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sampai 10 tahun atau denda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam A Partiban.