Home » » Disangka hilang di laut

Disangka hilang di laut

Written By Berita Setiap Hari on Friday 23 January 2015 | 20:36


BESUT  -  Pengunjung pusat perkelahan pantai Bukit Keluang, di sini gempar apabila  dua lelaki yang sebelum itu  dilihat  sedang  mandi-manda dan berenang tiba-tiba hilang serta dikhuatiri lemas pagi semalam.

Bagaimanapun kira-kira  tiga jam kemudian  kedua-dua mereka muncul semula  sambil  berjalan di tepi pantai  menuju tempat  mereka mula  turun.

Kejadian berlaku  kira-kira jam 8.15 pagi apabila Mohd Alif Abdul Aziz, 27,  dan rakannya Raja Ahmad Hasbullah Raja Ismail, 24, dari Perumahan Awam Kos Rendah Kampung Raja II dekat sini  tiba di pantai itu untuk berenang.

Selepas memakai pakaian renang mereka meninggalkan pakaian bersama kad pengenalan termasuk kunci motosikal di tepi pantai tempat mereka turun ke laut.

Seorang guru agama  bersama  sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)   yang kebetulan berada berhampiran melihat   kedua-dua lelaki itu sedang berenang ke arah tengah laut.

Guru  itu yang enggan  dikenali berkata, dia  melihat kedua lelaki  itu  berenang ke arah tengah laut  dan selepas itu dia beredar ke tempat lain tidak jauh dari situ bersama pelajarnya.

Tidak lama kemudian sekumpulan  lagi pelajar  MRSM bersama  guru  tersebut tiba di tempat itu dan  mendapati   kedua lelaki tersebut tidak kelihatan lagi  berenang  di permukaan air.

Bimbangkan kemungkinan kejadian buruk berlaku terhadap dua lelaki tersebut,  guru itu bertindak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Tidak lama kemudian gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan JPAM.

Muncul selepas tiga jam

Namun tiga jam kemudian  kelibat dua lelaki  sedang berjalan kaki  dari arah pantai kira-kira 300 meter dari arah Kuala Besut menuju ke tempat itu sambil memegang pelampung  menjadi tumpuan ahli keluarga lelaki tersebut.

Ahli keluarga termasuk isteri Mohd  Alif  yang tidak dapat menahan perasaan meluru mendapatkan keduanya  kerana sebelum itu terkejut apabila diberitahu suaminya dikhuatiri hilang dan lemas.

Mohd Alif  ketika ditemui memberitahu, selepas turun ke pantai itu, dia bersama  Raja Ahmad berenang selama satu setengah jam untuk sampai ke  Pulau Rhu  sebelum  berpatah balik tidak lama kemudian.

Menurutnya,  selepas berenang kira-kira separuh perjalanan untuk sampai balik ke pantai Bukit Keluang dia sempat melihat jam yang sudah hampir 11.30 pagi  dan beranggapan perlu pulang segera  untuk menunaikan solat Jumaat  lalu menahan  sebuah bot  nelayan  yang kebetulan melalui  kawasan itu.

“Kami mendarat  kira-kira satu kilometer dari  pantai Bukit Keluang  tempat kami mula berenang.

"Kami kemudian berjalan kaki untuk mendapatkan pakaian semula dan  terkejut apabila  melihat pasukan menyelamat serta ahli keluarga berada di pantai Bukit Keluang.

“Saya semakin terkejut apabila ahli keluarga  termasuk  isterinya   meluru mendapatkan saya sambil menangis apabila tiba pada jarak 200 meter  ke pantai itu,” katanya yang mengusahakan premis kedai pengantin di sini.

Mohd Alif berkata, sudah menjadi  aktiviti rutin dia bersama Raja Ahmad berenang setiap hari  sejak dua bulan lalu sebagai  latihan dan senaman untuk menyihatkan badan,”  katanya.
--sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger