Monday, 5 January 2015
Guru diculik, dikurung
JERTIH - Seorang guru lelaki diculik dan dikurung hampir dua hari oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis yang datang ke chaletnya dekat Pantai Air Tawar, di sini.
Dalam kejadian jam 4 pagi Khamis lalu, tiga penjenayah itu mendakwa guru berumur 54 tahun itu kononnya terlibat dengan pengedaran dadah dan perlu dibawa ke balai polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, guru itu memberitahu, dua daripada tiga lelaki itu datang ke chaletnya dan memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.
Menurutnya, mereka membawa guru itu keluar kononnya untuk ke balai polis dengan menaiki kereta Proton Perdana milik mangsa, namun mangsa sebaliknya dibawa ke sebuah rumah kayu usang milik seorang lelaki lain, dipercayai di Melor, Kelantan.
“Mereka merampas barangan milik mangsa seperti wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting.
“Mangsa dikurung di rumah itu dan semalam (kelmarin), dia dibawa dengan keretanya itu, yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Mereka juga meminta guru itu menunjukkan rumahnya dengan alasan mahu menghantar dia pulang, tetapi sebaliknya mereka merampas kunci pendua kereta Toyota Vios milik isteri mangsa serta kunci rumah mereka,” katanya.
Khaled berkata, guru itu dibawa ke Kampung Bukit Kenak, kira-kira jam 5 pagi kelmarin, di mana dia diugut akan dicederakan.
Menurutnya, guru itu kemudian sekali lagi dibawa ke sebuah rumah kosong dan dikurung, tetapi dia berjaya melepaskan diri kira-kira jam 1 petang kelmarin.
“Sebaik berjaya melarikan diri, mangsa meminta bantuan penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Melor.
Khaled berkata, setakat ini, kejadian dipercayai bermotifkan samun, tetapi polis masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan punca kejadian dan tempat mangsa dikurung.
“Siasatan awal mendapati, tiga suspek bersenjatakan pisau dan mangsa memaklumkan tidak mengenali suspek,” katanya.
Menurut Khaled, guru itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya giat memburu tiga penjenayah itu yang turut melarikan kereta Proton Perdana milik mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, lapor Sinar Harian.