Sunday, 25 January 2015

Harap ihsan kakak


BESUT - Akibat kesempitan hidup yang dialami, seorang bapa tunggal, Nordin Mat Ghani, 45 terpaksa hidup menumpang di rumah kakaknya di Kampung Gong Lapan, di sini.

Nordin berkata, dia tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan sejak kira-kira enam tahun lalu selepas diserang gastrik dan sekarang menghidap masalah lemah jantung.

Menurutnya, akibat tidak bekerja, dia tidak mampu menyewa rumah, jauh sekali membina rumah sendiri.

“Berjalan 10 langkah pun nafas saya akan tersekat-sekat dan terasa penat keterlaluan menyebabkan saya langsung tidak mampu bekerja.

“Saya sekarang hanya berharap ihsan kakak yang menumpangkan saya bersama anak tunggal saya Nursyakira, 11, yang kini bersekolah di SK Bukit Puteri,” katanya ketika dikunjungi wakil Kasut U Cawangan Jertih yang menghulurkan sumbangan RM500 di rumah kakaknya.

Katanya lagi, dia sakit tidak lama selepas isterinya Che Hamidah Che Mohamad, meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu.

Sejak itu katanya, dia hanya berharap simpati orang lain dan mujurlah kakaknya sanggup menumpangkannya di rumahnya di sini.

“Wang sumbangan Kasut U ini amat besar maknanya buat kami dan dapatlah saya guna untuk beli keperluan kami termasuk membantu kakak saya,” katanya.