Wednesday, 7 January 2015

Lelaki rakam gambar rakan wanita mandi


KUALA LUMPUR -  Dua sahabat baik terkejut apabila rakan baik yang dikenali sejak enam tahun lalu, sanggup merakam videonya sedang mandi menggunakan kamera pengintip.

Mangsa, dikenali sebagai Fong, 24, tidak menyangka percutian sambutan Hari Krismas 25 Disember lalu, menjadi igauan ngeri buatnya dan seorang lagi sahabat, Tan.

Menurut Fong, kejadian berlaku ketika mereka sedang bercuti di Sibu, Sarawak pada 24 Disember lalu.

Mereka diajak menginap di sebuah rumah rakan lelakinya, dikenali sebagai Alex.

“Pada 28 Disember lalu, sebaik masuk ke bilik air, Fong terlihat sebatang pen diletakkan di atas tingkap bilik air tersebut. Apabila diamati, ia adalah kamera tersembunyi.

“Saya sangat terkejut dan tidak sangka dia sanggup melakukan perbuatan itu hanya untuk suka-suka,” katanya.

Lebih memeranjatkan Tan, Alex turut menyimpan rakaman video  lima lagi rakan mereka dalam pemacu cakera yang disimpan di dalam beg.

Mereka merupakan sahabat ketika sama-sama menuntut di kolej.

“Alex mengaku itu perbuatannya dan meminta maaf. Semua video yang dirakam adalah ketika kami sama-sama bercuti. Saya percaya Alex sudah lama melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima tiga kes sama sepanjang tahun lalu.

“Video yang dirakam akan digunakan sebagai alasan agar kekasih tidak meninggalkan mereka.

“Berbeza dengan kes kali ini, rakan lelaki merakam gambar mangsa untuk suka-suka. Ia seolah-olah sudah menjadi tabiatnya,” katanya.

Michael Chong bagaimanapun menasihatkan mangsa agar membuat laporan polis supaya pesalah dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.