Saturday, 24 January 2015

Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah mangkat


KUALA TERENGGANU - Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja, 86, mangkat di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada pukul 3.26 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Osman Muda berkata, berikutan kemangkatan bekas Raja Permaisuri Agong keempat itu, Terengganu akan berkabung selama 40 hari dan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sehingga 4 Mac.

“Jenazah almarhum dijangka tiba di Kuala Terengganu pukul 10 pagi esok dan akan dibawa ke Istana Maziah sebelum dibawa ke Masjid Abidin untuk solat jenazah serta dikebumikan di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin selepas solat zuhur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata waktu untuk pembesar negara dan negeri serta tetamu kenamaan memberi penghormatan terakhir dijangka bermula pada pukul 12 tengah hari esok sehingga pukul 1 tengah hari di Istana Maziah manakala untuk rakyat jelata yang ingin memberi penghormatan terakhir adalah dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari luar negara. - Bernama

Al-fatihah.