Home » » Pas akan terkeluar daripada gabungan PR jika bentangkan rang undang-undang hudud

Pas akan terkeluar daripada gabungan PR jika bentangkan rang undang-undang hudud

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 22 February 2015 | 20:41


KERAJAAN Negeri Kelantan akan membentangkan rang undang-undang pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Sidang DUN Kelantan pada 18 Mac 2015 ini.

Pas di Kelantan memilih jalan demokrasi untuk melaksanakan apa yang dihajatnya – melalui sidang Dun, sekiranya perlu, ia akan dibawa parlimen.

Cita-cita Pas melaksanakan hudud di Kelantan bermula sejak zaman pemerintahan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz. Hasrat ini tidak pernah berubah sejak Pas bersama Semangat 46, Pas keseorangan, Pas ditinggalkan DAP di Barisan Alternatif dan sehingga kini Pas bersama PKR dan DAP di Pakatan Rakyat.

Untuk rakyat Kelantan menerima hudud, ia bukanlah perkara yang mudah. Ia adalah hasil istiqamah dan usaha bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz dalam mendidik dan mendakwah, sehinggalah rakyat Kelantan membuka hati menerima Islam secara menyeluruh.

Hajat ini tidak dapat dicapai ketika TGNA masih hidup kerana kekangan perlembagaan. Hari ini juga, ia masih tidak dapat dicapai kerana perkara yang sama, walaupun nampaknya ramai rakyat yang beragama Islam dilihat mendokongnya di Kelantan.

Semalam, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo memberikan amaran bahawa Pas akan terkeluar daripada gabungan Pakatan Rakyat sekiranya Kelantan terus membentangkan rang undang-undang pindaan hudud pada 18 Mac depan.

Bentang pindaan akta yang sedia ada di sidang Dun, memenuhi penuh kriteria sistem demokrasi pun tak boleh? Atas dasar dan logik apa?

Pas sedia maklum DAP tidak akan setuju dengan perlaksaan hudud, sebagaimana pasangan menerima kelemahan masing-masing.

Hudud ini agenda Pas, bukan Pakatan Rakyat, itupun rakyat dah sedia maklum.  Pas membawa hudud sebagai agenda sendiri, dan bukan Pakatan Rakyat. Perkara ini jelas, dan tidak perlu dicampuradukkan.

Takkan lepas bersama Pakatan Rakyat, Pas kena meninggalkan perjuangan Islamnya dan DAP perlu meninggalkan perjuangan sekularnya? Macam itu, Pas bukan Pas lagi, dan DAP bukan DAP lagi.

DAP boleh terus membantah. Pas tidak kisah, dan Pas hormati bantahan DAP. Pelik bin hairan, kalau DAP tidak membantah.

Tapi kalau DAP nak campur tangan sehingga menghalang Pas membuat usul pindaan di Sidang Dun Kelantan pun tidak boleh, ini dah kira mencabuli hak demokrasi Pas.

Mengapa DAP bertindak sehingga sedemikian rupa? Jawapannya mungkin ada pada permainan politiknya terhadap MCA dan Gerakan.

DAP sebenarnya bimbang menghadapi tuduhan MCA dan Gerakan bahawa ia telah tunduk kepada Pas jika usul hudud ini dibawa ke sidang Dun mahupun Parlimen.

DAP tidak dapat menjawabnya dan takut menghadapi situasi itu kerana inilah tuduhan sama yang DAP lemparkan pada MCA dan Gerakan apabila berdepan dengan Umno.

Mereka sedar bahawa tuduhan ‘tunduk (kow-tow) kepada Umno' yang telah terlekat pada MCA dan Gerakan telah banyak membawa keuntungan politik kepada DAP.

Setelah sekian lama dipinggirkan pengundi bukan Melayu kerana tuduhan tersebut, MCA dan Gerakan pula menunggu masa dan peluang yang sesuai untuk melemparkan tuduhan ‘tunduk (kow-tow) kepada Pas’ balik kepada DAP, dan hajat Pas untuk terus melaksanakan hudud dilihat sebagai peluang untuk berbuat demikian.

Bukan itu sahaja, Umno juga mengambil kesempatan daripada semua ini untuk menyemai persepsi bahawa ‘Pas adalah kuda DAP’ – dan menyebabkan semua yang terlibat tersepit dalam permainan yang tidak berkesudahan.

Bayangkan, jika Umno yang membawa usul hudud? Apakah reaksi MCA dan Gerakan? Bagaimana pula serangan DAP terhadap MCA dan Gerakan? Percayalah, ia akan mirip-mirip serupa – tapi yang pasti, hudud bukan masalah, cuma ia dijadikan alasan demi mendapatkan keuntungan politik terhadap lawan.

Oleh itu, disarankan DAP, MCA, Gerakan dan Umno untuk menghentikan politik sedemikian. Baliklah kepada demokrasi yang sebenar.

Jika Pas ingin melaksanakan hudud tanpa melalui sistem demokrasi, seranglah Pas habis-habisan. Selagi Pas atau mana-mana parti cuba berjuang apa yang dikehendakinya menggunakan landasan demokrasi, ia sepatutnya dirai dan bukan dihalang, walaupun parti tidak bersetuju dengan apa yang dibentang.

Yang menentukan samada ia diluluskan mahupun tidak, terpulanglah pada majoriti wakil rakyat yang dipilih rakyat di Parlimen – dan bukan atas arahan mana-mana individu ataupun parti.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger