Home » » Cubaan lari dari tahanan gagal

Cubaan lari dari tahanan gagal

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 15 March 2015 | 21:48


JERTIH - Seorang tahanan yang cuba melarikan diri daripada polis ketika membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Besut di sini berjaya diberkas semula selepas menghilangkan diri selama lima jam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, suspek yang sebelum ini ditahan dalam Ops Sarang minggu lalu, atas kesalahan menagih dadah melarikan diri dalam keadaan sebelah tangan bergari.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, suspek yang berumur 24 tahun dan merupakan penduduk tempatan sebelum itu mengadu sesak nafas, batuk dan muntah berdarah.

Menurutnya, susulan itu suspek dibawa polis ke Hospital Besut untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan kesihatan.

“Namun sebaik selesai rawatan, suspek yang berada di kerusi di hospital itu mengambil kesempatan melarikan diri daripada pengawasan polis yang mengawalnya.
“Suspek melarikan diri dengan berpakaian lokap dan sebelah tangannya masih bergari,” katanya.

Khaled berkata, suspek dilihat melarikan diri ke arah bandar Jertih dan gerakan memburu lelaki itu dilakukan selepas itu.

Menurutnya, kira-kira jam 5 petang, suspek dilihat berada di padang Kampung Gong Nerin kira-kira empat hingga lima kilometer dari Hospital Besut.

“Menyedari pergerakannya disedari polis dan orang awam, suspek lari bersembunyi di dalam semak di hadapan sebuah sekolah menengah di sini.

“Polis mengepung dan mengesan suspek di kawasan semak itu. Selepas sejam usahakan mencari dilakukan di situ, akhirnya polis berjaya memberkas suspek yang sedang bersembunyi di bawah sebatang kayu,” katanya.

Suspek berjaya ditahan semula kira-kira jam 6 petang.

Kes ini disiasat mengikut mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan terhadap suspek kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah, manakala anggota polis terbabit
juga disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan suspek melarikan diri.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger