Home » » Badul terkenal di Pantai Timur

Badul terkenal di Pantai Timur

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 21 May 2015 | 01:07


SEBUT nama Mohd Yaacob Ahmad sudah tentu tidak ramai yang tahu, tetapi jika dipanggil Badul Thailand atau Badul Tukang Karut pasti ramai penduduk di negeri ini termasuk Kelantan mengenalinya.

Dia yang kini berusia 61 tahun amat dikenali dalam kalangan peminat dikir barat di negara ini terutama di Pantai Timur sebagai seorang tukang karut komedi tersohor.

Selain lebih popular dengan gelaran Badul Thailand, dia juga terkenal dengan beberapa gelaran lain antaranya Badul ‘Raja Mabuk’ dan beberapa gelaran lain.

Menurutnya, dia mula terlibat dalam dikir barat khususnya tukang karut sejak berusia 14 tahun ketika mengikut ibunya mencari rezeki di Patani, selatan Thailand.

“Selepas pulang ke negara ini pada 1982, saya aktif berdikir di sini dan sering menerima undangan dikir barat di setiap persembahan dikir barat mahupun program tertentu,” katanya yang berasal dari Kampung Gong Sawa, Pasir Puteh, Kelantan dan kini menetap di Kampung Gong Duek, Hulu Besut.

Badul berkata, dia mula mempelajari asas dikir barat daripada seorang pendikir terkenal di Selatan Thai yang dikenal Geba.

Katanya, bagaimanapun kemahiran tukang karut sukar dipelajari, sebaliknya ia berdasarkan kebolehan sendiri yang datang secara spontan yang dikukuhkan oleh pengalaman.

“Tukang karut perlu kemahiran berbalas pantun secara spontan dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara kuat dan lantang.

“Persembahan jenaka saya yang ala gila-gila sikit menyebabkan saya dapat gelaran Raja Mabuk dan bukan bermaksud saya betul-betul mabuk.

“Peranan saya untuk menghiburkan penonton dengan lawak jenaka saya di samping menyaksikan persembahan oleh juara dan penyanyi dikir barat,” katanya yang bekerja tetap sebagai kontraktor.

Badul berkata, sehingga kini beliau menerima undangan membuat persembahan di seluruh negara termasuk Singapura dan selalunya persembahan dilakukan pada malam minggu.

Kini hanya tinggal beliau seorang sahaja lagi generasi awal tukang karut terkenal di Pantai Timur selepas ramai dalam kalangan rakannya yang terkenal dalam bidang ini seperti Mat Yeh, Seman Wau Bulan dan Tok Do Hussin meninggal dunia.

Selain giat membuat persembahan, beliau juga telah menerbitkan 20 siri cakera padat, 10 kaset termasuk cakera padat tersohor iaitu Animasi Wayang Kulit.

Beliau berharap akan ada generasi pelapis tukang karut agar seni budaya ini tidak pupus dan berkekalan sampai bila-bila.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger