Home » » Siasatan terperinci kematian pelajar kolej di Bachok

Siasatan terperinci kematian pelajar kolej di Bachok

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 13 May 2015 | 18:03


KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mahu siasatan terperinci dilakukan berhubung kes kematian seorang pelajar kolej di Bachok semalam.
Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Fadzli Hassan berkata tindakan itu penting kerana masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi berkaitan keselamatan anak masing-masing di tempat belajar.
“Kita minta pihak asrama, pihak Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan mengambil serius tentang akhlak dan disiplin pelajar yang ada di asrama.
“Ambil tindakan tegas kepada mana-mana pelajar yang menunjukkan masalah disiplin di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Fadzli berkata sebelum ini terdapat beberapa kes buli yang dilaporkan di sekolah tetapi kes yang telah mengorbankan nyawa seorang pelajar semalam adalah sesuatu yang serius dan perlu segera ditangani oleh semua pihak.
“Saya berasa amat sedih dengan kejadian yang menimpa pelajar terbabit. Salam takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa,” katanya.
Beliau diminta mengulas kes kematian seorang pelajar sebuah kolej di Bachok semalam selepas dipercayai dipukul oleh seorang pelajar senior dalam asrama.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa Mohamad Nur Akram Zime, 16, dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan suspek yang berusia 17 tahun yang memukul mangsa dipercayai akibat salah faham.
Mohamad Nur Akram dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai selepas disepak sebanyak dua kali oleh pelajar senior terbabit dan disahkan meninggal pada pukul 1.30 pagi semalam di sebuah klinik kesihatan di Bachok.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Berangan, Pasir Puteh semalam, lapor Bernama.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger