Home » » Tukang rumah cedera disamun

Tukang rumah cedera disamun

Written By Berita Setiap Hari on Monday 11 May 2015 | 19:13


KAMPUNG RAJA - Seorang tukang rumah cedera selepas diserang dan disamun oleh empat lelaki ketika mangsa dalam perjalanan untuk ke kedai serbaneka dalam kejadian di Kampung Padang Landak awal pagi semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 21 tahun itu mengalami lebam di beberapa bahagian badan selepas diserang suspek.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal hendak ke sebuah kedai serbaneka di Kampung Padang Luas untuk membeli kad prabayar telefon.

Menurutnya, ketika sampai di hadapan sebuah gerai menjual ayam di Kampung Padang Landak, sebuah kenderaan pikap pacuan empat roda berwarna hitam tiba-tiba menghalang motosikal ditunggang mangsa.

“Mangsa terpaksa memberhentikan motosikal di bahu jalan dan empat lelaki turun dari kenderaan tersebut termasuk salah seorang yang dikenali  lalu memukul mangsa.

“Selepas memukul mangsa, suspek turut mengambil sebuah telefon bimbit, tunai RM700, kad pengenalan diri dan seutas jam tangan milik mangsa sebelum melarikan diri ke arah Bukit Yong, Pasir Putih apabila orang awam yang berada berhampiran tempat kejadian datang membantu,” katanya.

Khaled berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, tangan sebelah kiri dan bengkak kaki sebelah kiri akibat dipukul empat suspek menggunakan besi paip, getah paip dan kayu penyapu.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jertih sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga mendatangkan kecederaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger