Monday, 15 June 2015
DAP sudah tidak sabar putuskan hubungan dengan Pas
KOTA BHARU - DAP dilihat makin tidak sabar keluar PR, seterusnya memutuskan hubungan dengan Pas.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jika diteliti dari segi rentetan, di peringkat awal lagi DAP memutuskan hubungan dengan Pas di Sarawak.
Menurutnya, ia kemudian berlarutan sehingga mengaitkan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat seperti perancangan mencari alasan berpisah dengan PR.
"Sebagaimana diperkatakan sebelum ini, sepatutnya DAP bersabar dahulu kerana keputusan muktamad masih belum dibuat walaupun mungkin ia sama dengan usul dikemukakan menerusi muktamar, baru-baru ini.
“Orang belum bercerai, kita sudah halau keluar rumah. Biar sah penceraian, baru boleh halau. Bagi saya, tindakan itu lebih mencari alasan keluar dan putus hubungan dengan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas isu Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi yang memegang jawatan sebagai Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua Menteri negeri itu di diberhentikan perkhidmatan.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan juga meminta keputusan dilakukan DAP itu diterima kerana ia sudah diputuskan oleh pimpinan negeri itu.
Sementara itu, mengulas tindakan bakal dikenakan terhadap Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang dikatakan akan menggerakkan usaha membolehkan parti baharu ditubuhkan bagi menggantikan Pas dalam PR, beliau berkata, pihaknya tidak gopoh beri tindakan.