Tuesday, 16 June 2015

Guan Eng: Pakatan Rakyat sudah berkubur


KUALA LUMPUR, 16 JUN: Bagi DAP, sah sekarang Pakatan Rakyat sudah berkubur.

Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada hari ini, Jawatankuasa Pusat DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud.

lgeKata Guan Eng, Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 sebagai respon bersama oleh DAP, PKR dan PAS untuk memenuhi aspirasi rakyat yang ingin melihat perubahan politik di Malaysia berikutan tsunami pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Katanya, dengan sokongan daripada rakyat Malaysia, parti-parti pembangkang memenangi lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen dan lima kerajaan negeri.

“Ia mendorong pimpinan DAP, PKR dan PAS untuk membentuk Pakatan Rakyat dengan beberapa prinsip yang dikongsi bersama,” katanya.

“Namun, ekoran beberapa insiden sepanjang tahun lalu, termasuk krisis Menteri Besar Selangor, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabuli keputusan yang telah dicapai di peringkat Majlis Pimpinan mengakibatkan muafakat sedia ada hampir lumpuh.

“Keadaan Pakatan Rakyat yang hampir lumpuh ini direncatkan lagi dengan kerelaan Abdul Hadi membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama Umno serta sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Menurut Guan Eng, Pakatan Rakyat terus lumpuh apabila Abdul Hadi memungkiri janji peribadinya dalam mesyuarat Majlia Pimpinan pada 10 Februari untuk membincangkan cadangan undang-undang hudud PAS terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau dibawa ke parlimen.

Pengkhianatan Abdul Hadi, kata Ahli Parlimen Bagan itu, berterusan apabila pada 6 Jun lalu muktamar PAS menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa sebarang perbahasan.

“Memandangkan Pakatan Rakyat dibentuk oleh ketiga-tiga parti berdasarkan konsensus dan terikat dengan Dasar Bersama, usul di Muktamar PAS itu telah membunuh Pakatan Rakyat.

“Justeru kini, tiada lagi Pakatan Rakyat.

“DAP akan bekerjasama dengan PKR dan semua pihak yang mahu melihat pemerintahan Umno/Barisan Nasional berakhir, bagi membentuk semula politik Malaysia dengan cita-cita menawan Putrajaya demi rakyat,” katanya.


SINAR HARIAN -SHAH ALAM -  Gabungan Pakatan Rakyat yang terjalin sejak 2008 kini sudah tidak wujud lagi, umum Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam satu kenyataan media berkata, parti itu menerima keputusan Pas yang meluluskan usul memutuskan hubungannya dengan DAP sekali gus berkata, Pakatan Rakyat kini sudah terbubar.

“Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar Pas secara berkesan telah menamatkan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat justeru tidak lagi wujud,” ujarnya.

Menurut Guan Eng, perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat CEC DAP semalam.

“Pelanggaran janji yang dibuat sendiri oleh Abdul Hadi dalam Pakatan Rakyat iaitu pada Majlis Pimpinan pada 10 Februari bagi membincangkan undang-undang hudud yang dicadangkan oleh Pas dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat di Majlis Pimpinan sebelum dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan dilanggar oleh Abdul Hadi.

“… diikuti dengan keputusan bersejarah pada 6 Jun 2015, apabila Muktamar Pas.... pihak berkuasa tertinggi parti, memutuskan untuk menerima usul putus dengan DAP tanpa dibahaskan," tambahnya lagi dalam kenyataan media sama.

Katanya lagi, DAP bagaimanapun akan terus bekerjasama dengan PKR dan semua kuasa-kuasa lain dalam memastikan tampuk pemerintahan negara bertukar tangan.

Sementara itu, PKR dalam respon terhadap kenyataan itu berkata, PKR akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan pendirian parti itu.

Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata , pimpinan PKR di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan.