Saturday, 25 July 2015
Ditembak ketika curi kelapa sawit
KAMPUNG RAJA - Seorang lelaki cedera selepas ditembak dengan senapang angin dipercayai oleh pengawal keselamatan sebuah ladang kelapa sawit apabila mangsa didakwa mencuri sawit di ladang berkenaan di Kampung Pondok Paku dekat Kerandang, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 3 petang, suspek berusia 56 tahun dikatakan sedang menjaga ladang kelapa sawit yang dikatakan terletak berhampiran ladang milik keluarga mangsa.
Timbalan Ketua Polis Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan berkata, suspek yang mengenali mangsa dikatakan terserempak lelaki terbabit sedang mencuri kelapa sawit di ladang bawah jagaannya.
Menurutnya, suspek yang melihat perbuatan mangsa telah bertindak menegur mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
“Bagaimanapun dalam pertengkaran itu suspek dikatakan telah gambil selaras senapang angin lalu menembak kaki mangsa dengan peluru bebola besi sebanyak dua das.
“Mangsa yang cedera di kaki kiri dibawa ke Hospital Besut oleh ahli keluarganya sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kamsani berkata, mangsa dilaporkan stabil dan susulan laporan tersebut, usaha mengesan suspek giat dilakukan.
Menurutnya lagi, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berjaya ditahan di sebuah kedai kopi di pekan Jabi, di sini lebih kurang jam 11.10 malam pada Khamis lalu.
“Berikutan tertangkapnya suspek, polis turut merampas selaras senapang angin yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa yang disorokkan suspek di ladang kelapa sawit tempat kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.