Friday, 7 August 2015

Pemuda cedera ditetak ketika main ping pong


HULU BESUT -  Seorang pemuda cedera di beberapa bahagian anggota badan selepas ditetak seorang lelaki ketika sedang bermain ping pong di sebuah kedai makan di Kampung Pasir Akar di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun ditetak suspek dengan sebilah golok.

Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang bermain ping pong di sebuah kedai makan di Pasir Akar, sebelum tiba-tiba didatangi suspek yang dikenali mangsa dengan Proton Wira.

Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa, sebaik keluar dari kereta, suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah golok dan terus menyerang mangsa.

“Mangsa cuba melarikan diri tetapi suspek bagai hilang ingatan apabila bertindak terus menyerang mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan, belakang badan dan menerima lima jahitan di belakang badan akibat serangan suspek,” katanya.

Khaled berkata, bagaimanapun mangsa menggagahkan diri lari menyelamatkan diri sementara suspek kemudiannya beredar dari situ.

Mangsa dari Kampung Cherang Melintang, Pasir Akar selepas itu pergi mendapatkan rawatan di hospital dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya, selain meminta polis mengambil tindakan seterusnya.

“Polis masih menyiasat motif kejadian yang menyebabkan suspek bertindak sedemikian kerana mangsa memberitahu tidak ada masalah dengan suspek.

“Suspek yang juga menetap di Pasir Akar sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya giat dilakukan kerana suspek dipercayai menyembunyikan diri,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.