Friday, 14 August 2015
Rogol budak 14 tahun, dua diberkas
KAMPUNG RAJA - Polis Besut berjaya memberkas dua remaja lelaki dalam tempoh kurang 10 jam kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di pantai Air Tawar, di sini Ahad lalu.
Remaja terbabit berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah di daerah ini ditahan lebih kurang jam 8.30 malam di Padang Dataran Pantai Air Tawar.
Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan berhubung laporan yang dibuat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dirogol kedua-dua suspek di dalam semak berhampiran pusat perkelahan itu dalam kejadian lebih kurang jam 3.35 petang hari sama.
Menurutnya, mangsa dikatakan dirogol selepas pergi ke pantai berkenaan dengan seorang kawan perempuannya dan mangsa mendakwa tidak mengenali suspek.
“Mangsa sudah tidak bersekolah sementara rakan kepada pelajar tingkatan empat (suspek) juga tidak bersekolah. Kedua-dua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut yang diadakan di pekarangan IPD tersebut di sini, kelmarin.
Khaled dalam pada itu menasihatkan ibu bapa mengawasi pergerakan anak masing-masing.