Wednesday, 5 August 2015
Serpihan sayap di sahkan milik MH370
KUALA LUMPUR - Pakar antarabangsa mengesahkan serpihan sayap yang dijumpai di Pulau Reunion milik Perancis adalah daripada MH370 - menyokong rumusan awal bahawa pesawat Malaysia Airlines terhempas ke dalam Lautan Hindi hampir 17 bulan lepas.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hari ini pakar-pakar yang berkumpul di Toulouse, Perancis telah mengesahkan serpihan pesawat dijumpai di Pulau Reunion sememangnya daripada MH370.
"Kami sekarang mempunyai bukti fizikal seperti yang saya umumkan pada 24 Mac tahun lepas, MH370 berakhir dengan tragik di selatan Lautan Hindi," Perdana Menteri berkata secara langsung menerusi TV3 pada jam 1.45 pagi hari ini.
Pengesahan itu dijangka mengecilkan kawasan pencarian dan meningkatkan harapan untuk menyelesaikan apa yang dikatakan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.
Terdahulu, MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014.
"Menghitung hari, minggu dan bulan merupakan suatu tempoh yang menyeksakan buat keluarga mangsa," kata Najib.
"Kehilangan pesawat itu adalah tanpa sebarang duluan. Pada setiap peringkat, kami mengikuti sekecil mana bukti yang ada. Biarpun usaha dari 26 negara dan pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dari Laut China Selatan hingga ke Lautan Hindi, pesawat itu tidak dapat dikesan.
Begitu juga penyiasatan oleh pakar penerbangan terkemuka dunia tidak dapat menjawab mengapa MH370 tersasar daripada haluan dan hilang. Sementara kehilangan pesawat itu kekal misteri, kami berkongsi penderitaan mereka yang dalam kesedihan," kata beliau.
Pengumuman Perdana Menteri yang disiarkan di seluruh dunia hari ini adalah selepas 515 hari pesawat itu hilang.
Najib mengucapkan terima kasih kepada banyak negara, organisasi dan individu yang terlibat dalam pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan.
Beliau berharap pengesahan itu walau bagaimana tragik dan menyakitkan sekurang-kurangnya memberi kepastian kepada keluarga dan "mereka yang tersayang" penumpang dan kru MH370.
"Mereka mendapat simpati yang teramat dan doa dari kami, " kata beliau.
Perdana Menteri memberi jaminan kepada semua mereka yang menerima kesan tragedi itu bahawa Kerajaan Malaysia akan berbuat apa saja di dalam kemampuannya untuk mencari kebenaran tentang apa yang berlaku.
"Kehilangan MH370 menyebabkan kita bersatu sebagai satu bangsa. Kami berkabung bersama anda, sebagai satu negara.
Saya menjanjikan ini: Malaysia akan sentiasa memperingati mereka yang terkorban dalam MH370," kata Najib. - Bernama