Saturday, 30 July 2016

16 kedai makan tutup 14 hari


KAMPUNG RAJA -  Sebanyak 16 kedai makanan di daerah ini diberikan notis penutupan selama 14 hari selepas dikesan gagal menepati ciri-ciri kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh berkata, kesemua kedai makan tersebut adalah sebahagian daripada 92 premis yang diperiksa pada hari pertama Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam peringkat negeri di daerah ini bermula  Rabu lalu.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan 100 anggota Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) membabitkan semua pejabat kesihatan daerah di negeri ini yang tertumpu di beberapa kawasan di daerah ini.

“Restoran dan kedai makan terbabit diberi arahan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai markah 60 peratus seperti ditetapkan kementerian.

“Antara kesalahan yang banyak dikenal pasti, pengusaha makanan terbabit antaranya tidak mematuhi suhu minima peti sejuk seperti ditetapkan, pengendali tidak menerima suntikan dan persekitaran termasuk tempat memasak tidak bersih,” katanya yang hadir pada majlis penutup operasi pada Khamis di sini .

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Razan A.Samat

Mohd berkata, sasaran awal premis makanan yang akan diperiksa adalah sebanyak 120 buah, namun sebanyak 28 didapati tidak beroperasi pada hari tersebut.

Menurutnya, dalam operasi sama sebanyak 65 notis kompaun Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun rampasan RM10,200.

“Kedai-kedai makanan yang tidak bersih itu telah diberikan notis penutupan bagi membolehkan pengusaha membersihkan premis mereka sebelum dibuka semula setelah mendapat pemeriksaan balas,” katanya sambil memberitahu, pemeriksaan makanan turut diadakan di 32 premis lain seperti pasar raya, pasar raya mini dan kedai runcit di sekitar Kampung Raja, Kuala Besut dan Jertih pada hari kedua operasi.

Menurutnya, hasil operasi di pasar raya terbabit sebanyak 85 item disita kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan seperti tamat tarikh luput, tidak mematuhi peraturan pelabelan dan beberapa kesalahan lain dengan nilai rampasan RM3,708.31.

“Orang ramai juga boleh melaporkan kepada pejabat kesihatan daerah masing-masing jika mendapati ada premis makanan yang beroperasi dalam keadaan kotor serta pasar raya mahupun kedai runcit yang turut melakukan kesalahan dalam penjualan makanan,” katanya.

klik sini >> Senarai kedai makan yang diberikan notis penutupan selama 14 di besut