Home » » Umno tidak goyah, kesatuan ahli parti jadi sandaran

Umno tidak goyah, kesatuan ahli parti jadi sandaran

Written By Berita Setiap Hari on Friday 25 November 2016 | 08:41


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin parti itu tidak akan tergugat walaupun kini berdepan pelbagai ujian, termasuk serangan daripada bekas pemimpin yang berpaling tadah.    

Hishammuddin berkata kesatuan ahli Umno yang dididik berpegang kepada prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan individu, menjadi sandaran dan tonggak parti dalam mengharungi cabaran sejak ditubuhkan 70 tahun lepas.

"...kerana itu kita dapat berhadapan dengan perhimpunan kali ini dalam keadaan rumah tangga kita masih lagi dapat kita pertahankan.

"Menjadi harapan saya kita keluar daripada Perhimpunan Agung Umno tahun ini, orang akan dapat melihat Umno sebagai satu wajah, satu parti, satu institusi dan kita masih berada dalam satu saf yang mantap," katanya dalam temubual khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2016, baru-baru ini.    

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata perkara penting dalam perhimpunan kali ini ialah Umno perlu melihat kepada kekuatan sendiri, dan apa perlu dilakukan adalah memastikan parti terus dipertahankan dan mampu menempuh cabaran berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Hishammuddin berkata Perhimpunan Agung Umno kali ini juga diharap lebih fokus dalam membincangkan usaha menguatkan jentera dan keyakinan setiap anggota parti sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Beliau berkata jentera Umno perlu menunjukkan 'mentaliti boleh menang' bagi memastikan parti memperoleh kemenangan besar pada PRU akan datang.

"PRU kali ini bermula dengan Perhimpunan Agung Umno, bermula dengan kita sedar dan insaf agenda kita lebih besar daripada hanya untuk mengekalkan pemerintahan, tetapi juga untuk memastikan negara kita dalam dunia yang tidak menentu ini, dapat kita pertahankan, dalam konteks ekonomi, agama, politik dan keselamatan. Sekarang, mari kita fokus untuk pilihan raya," katanya. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger