Home » , » Gesa nelayan Esszone pasang sistem AIS, radio

Gesa nelayan Esszone pasang sistem AIS, radio

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 22 December 2016 | 16:13


LAHAD DATU - Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sekali lagi mengulangi gesaan agar nelayan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) dan radio VHF 16 untuk keselamatan golongan itu.

Ketua Staf Pusat Operasi Esscom Briged Jeneral Datuk Md Rahim Mohamad berkata pemasangan AIS dan radio operasi itu juga akan memudahkan usaha pemantauan oleh pasukan keselamatan terhadap bot nelayan selain memudahkan nelayan berhubung sekiranya berlaku kecemasan.

"Para nelayan hendaklah terlebih dahulu mementingkan keselamatan mereka setiap kali turun ke laut, sebab itu pemasangan AIS dan radio VHF 16 adalah diwajibkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Esscom termasuk Jabatan Perikanan telah mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Nelayan Kawasan Lahad Datu yang bertujuan menerangkan kepada pemilik dan juragan bot pukat jerut dan pukat tunda berkenaan kepentingan dan fungsi pemasangan AIS dan radio VHF 16.

"Kebanyakan jurangan bot tidak mengetahui AIS dan radio komunikasi ini penting untuk menjamin keselamatan mereka (nelayan) memandangkan ancaman masih berterusan," katanya.

Sementara itu, beliau turut mewajibkan golongan nelayan membuat ujian komunikasi radio dengan Pusat Operasi Esscom melalui radio VHF 16 sewaktu berada di laut.

"Bot-bot nelayan pukat jerut dan pukat tunda diwajibkan melapor kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 sehari sebelum ke laut dan ketika bergerak ke laut," katanya. – Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger