Home » » Kenyataan Kit Siang hanya jenaka politik – Mahdzir

Kenyataan Kit Siang hanya jenaka politik – Mahdzir

Written By Gaha Belako on Sunday, 18 December 2016 | 16:37


Alor Setar – Kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang yang menyebut bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang, hanyalah satu jenaka politik yang melucukan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini kerana proses untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sebaik mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, bukanlah perkara mudah.

“Matlamat tersebut sangat tidak realistik. Bayangkan bila sudah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Wan Azizah perlu kosongkan kerusi, buat pilihan raya kecil dan banyak lagi proses yang pasti bukannya sekejap,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Pelajar Program Puncak Pembina di sini, Ahad.

Media tempatan melaporkan, pada majlis di Pulau Pinang baru-baru ini, Lim dilaporkan mencadangkan Dr Wan Azizah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi PRU akan datang.

Mahdzir, yang juga Menteri Pendidikan, berkata pembangkang kini cuba membuat helah kepada rakyat dengan menunjukkan kononnya mereka boleh memimpin sekiranya diberi peluang memegang tampuk pemerintahan.
Bagaimanapun, jelas Mahdzir, kenyataan bercanggah daripada setiap parti pembangkang mengenai siapa calon perdana menteri yang layak sekiranya mereka menang PRU akan datang, jelas menunjukkan tiada keyakinan sesama mereka. – Bernama


Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger