Home » , » Padah pemilik culas bayar cukai

Padah pemilik culas bayar cukai

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 22 December 2016 | 15:57


SUNGAI BULOH – Dua unit manual jack lift dan sebuah trak angkat susun (forklift) milik kilang percetakan di sini disita selepas pemiliknya dikesan gagal menjelaskan cukai taksiran mengikut tempoh ditetapkan selain mempunyai tunggakan sehingga RM74,000 sejak 2012.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Perbendaharaan MPS, Rohimah Nur Shariffudin berkata, rekod bayaran terakhir dibuat pada Ogos lalu sebanyak RM3,000 menjadikan tunggakan semasanya kini mencecah RM71,000.

Menurutnya, MPS sebelum ini mengeluarkan waran tahanan kepada kilang berkenaan beberapa kali dan terakhir pada 3 Disember lalu yang memberikan tempoh tujuh hari kepadanya untuk menjelaskan tunggakan atau berdepan tindakan sitaan.

“Namun pemiliknya tidak mengambil sebarang tindakan mahupun datang ke MPS untuk perbincangan penyelesaian susulan waran yang dikeluarkan sehingga penguatkuasaan di ambil hari ini (semalam).

“Pemilik hanya meminta diberikan kelonggaran untuk menjelaskan tunggakan secara ansuran tadi (semalam) dan perkara itu dipersetujui namun sitaan diteruskan serta peralatannya akan dipulangkan selepas bayaran tersebut dijelaskan,” katanya.

Jelasnya, waran tahanan telah dibuat beberapa kali sebelum ini namun penguatkuasaan tidak dapat dilakukan berikutan kekerapan operasi kilang tersebut ditutup.

“Pemiliknya memaklumkan cukai taksiran tidak dapat dijelaskan disebabkan masalah perniagaan yang tidak baik.

“Mereka perlu ke MPS untuk perbincangan lanjut mengenai kaedah pembayaran dan tindakan sitaan diteruskan memandangkan amaran sama sebelum ini telah dikeluarkan namun tidak diendahkan. Penguatkuasaan yang dijalankan adalah mengikut Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Beliau berkata, operasi sitaan yang dijalankan sejak 2 November lalu adalah bagi memberikan kesedaran dan pendidikan kepada pemilik harta terhadap tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran bagi mengelakkan sitaan dilaksanakan.

“Sehingga 21 Disember, sebanyak 29,973 waran tahanan dikeluarkan dan sebanyak 877 premis telah dilawati. Kutipan hasil waran yang diperoleh lebih RM12 juta.

“Pemilik yang berdepan masalah bayaran diminta tampil ke MPS untuk perbincangan atau kegagalan berbuat demikian akan menyebabkannya berdepan sitaan yang nilainya perlu dijelaskan serta-merta semasa hari operasi dilakukan.

“Tiada pengecualian penguatkuasaan bagi pemilik pangsapuri kos rendah atau kawasan kampung yang mempunyai tunggakan cukai taksiran. Operasi sitaan akan berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, sebanyak lima premis diperiksa dan sejumlah RM8,744 berjaya dikutip di sebuah premis yang menjelaskan tunggakan penuh dan sebuah premis lagi menjelaskan sebahagian tunggakan. Dua lagi premis didapati tidak beroperasi semasa hari pemeriksaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger