Sunday, 18 December 2016

Pemutihan kawasan risiko perlu komitmen semua


TAWAU - Pemutihan kawasan berisiko tinggi aktiviti penyalahgunaan dadah memerlukan komitmen semua pihak khususnya komuniti di peringkat akar umbi.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata, terdapat 178 kawasan berisiko tinggi dengan gejala dadah di seluruh negara termasuk tujuh lokasi di negeri ini.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Merotai, Tawau; Sandakan; Menggatal, Penampang dan Karamunsing di Kota Kinabalu; Keningau serta Beaufort.

"Kawasan-kawasan ini menjadi 'hotspot' di negeri ini kepada aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang juga menyumbang kepada isu keselamatan dan masalah penyakit sosial yang lain," katanya.

Beliau yang juga Adun Tanjong Batu berkata demikian pada Program Kupi-Kupi di Dewan Mini Kg. Kuala Merotai dekat sini, hari ini.

Hamisa berharap semua pihak tidak melindungi pengedar dan penjual dadah sebaliknya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.

Katanya, faktor permintaan dan bekalan dadah yang sukar ditangani secara total menjadi cabaran utama dan sukar untuk dibendung tanpa kaedah atau strategi yang komprehensif dan menyeluruh.

"Situasi semakin mencabar dan membimbangkan apabila permasalahan dadah kini dilihat boleh menjadi tahap epidemik yang mampu meruntuhkan sesebuah negara," katanya.

Selain itu menurutnya, faktor kurang kesedaran dan sikap sambil lewa serta menganggap permasalahan dadah bukan masalah sejagat ditambah sikap tidak ambil peduli terhadap pengedar dan penagih dadah menyebabkan isu ini sukar dibanteras.

"Sikap dan pemikiran masyarakat yang tidak tepat ini perlu diberi anjakan paradigma dalam menilai dan bertingkah laku terhadap isu penyalahgunaan dan penagihan dadah agar masalah dadah dapat diperangi," tambahnya.

Hamisa berkata, Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan perlu digerakkan dengan pelbagai pengisian dan melibatkan keseluruhan lapisan masyarakat agar impaknya lebih berkesan. – Bernama