Sunday, 18 December 2016

Rezeki fenomena air pasang besar


KEMAMAN - Fenomena air pasang besar membawa rezeki kepada orang ramai kerana dapat menangkap udang galah dan ketam nipah dengan cara lebih mudah, hanya menyuluh lampu di tepi tebing sungai pada malam kelmarin.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Kemaman Waterfront mendapati ramai yang mendekati sungai ketika paras air semakin melimpahi tebing sambil memegang serampang udang dan sauk.

Muhammad Jamani Mustafa, 32, dari Kampung Jaya, Chukai berkata, harga udang galah dan ketam nipah yang tinggi di pasaran mendorongnya untuk turun ke sungai setiap kali berlaku fenomena air pasang besar.

Menurutnya, harga udang galah di pasaran mencecah RM55 sekilogram manakala harga ketam nipah antara RM38 hingga RM50 sekilogram mengikut saiz.

“Tangkap udang galah dan ketam nipah semasa air pasang lebih senang sebab banyak udang galah dan ketam berada dekat tepi tebing sungai.

“Saya cuma perlu suluh guna lampu suluh. Udang galah dan ketam nipah mudah dikesan kerana bila suluh, matanya akan bersinar. Kemudian saya cepat-cepat tangkap udang galah guna serampang udang dan ketam pula saya tangkap guna sauk,” katanya.

Muhammad Jamani yang bekerja kampung kebiasaannya akan mencari udang galah dan ketam nipah bermula selepas waktu Maghrib berlarutan sehingga awal pagi dan hanya pulang ke rumah antara jam 3 dan 5 pagi jika cuaca tidak hujan.

Katanya, hasil yang diperoleh lazimnya tidak mengecewakan kerana sekurang-kurangnya dia berjaya memperoleh sebanyak sekilogram udang galah sebelum hasilnya itu dijual kepada kenalan yang berminat.

Sementara itu, Abdul Kadir Abdullah, 53, dari Chukai berkata, untuk memudahkan pergerakan dia turut menggunakan perahu ketika menangkap udang galah semasa air pasang berkenaan.

“Kalau rajin saya guna perahu, tapi kadangkala saya cuma suluh kawasan sepanjang tebing sungai. Udang galah yang berjaya saya tangkap pelbagai saiz, ada yang besar ada yang kecil.

“Inilah rezeki air pasang. Dapatlah anak-anak makan udang galah. Kalau nak beli, mahal sangat harganya kat pasar,” kata tukang rumah tujuh anak berkenaan.

Fenomena air pasang besar berkenaan berlaku di Kemaman ekoran paras air laut yang direkodkan menjelang tengah malam adalah setinggi 3.4 meter dan air pasang besar berkenaan diramal berterusan berlaku hingga 31 Disember ini kecuali pada 22 hingga 25 Disember kerana ketika itu paras air laut adalah 2.8 meter ke bawah.