Sunday, 18 December 2016

‘Siang MBMB, malam kami kutip’



MELAKA TENGAH - “Siang MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) punya, malam kami yang kutip,” demikian kata seorang remaja sebelum ditahan polis kerana melakukan kutipan bayaran parkir secara haram di Jalan Kampung Hulu, di sini, kelmarin.

Remaja lelaki itu ditahan sebaik sahaja menerima bayaran RM5 oleh sepasukan anggota penguatkuasaan trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam Ops Parkir Haram kira-kira jam 9 malam.

Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, sebelum ditahan remaja berusia 17 tahun itu dilihat berlegar-legar di kawasan parkir yang terletak berhampiran Masjid Kampung Hulu.

“Terdahulu lima anggota polis diketuai Inspektor Firdaus Syafiq Abu Talib membuat pemantauan aktiviti penjagaan parkir haram di sekitar Bandar Melaka sebelum kenderaan dinaiki mereka masuk ke dalam satu petak letak kereta di Kampung Hulu.

“Kemudian datang remaja itu menghampiri polis yang berpakaian preman dan meminta RM5 sebagai bayaran.

"Ketika ditanya mengenai petak parkir di situ, dia menjawab bahawa pada waktu siang MBMB yang punya dan sebelah malam pula dia yang pungut,” katanya.

Mohd Kamal berkata, selepas membuat bayaran dan menerima tiket berwarna kuning polis kemudian memperkenalkan diri dan menerangkan kesalahan dilakukannya lalu membuat tangkapan.

“Lelaki itu kemudian dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan dilakukan kita turut menemui beberapa keping wang kertas bernilai RM50 di dalam poket seluar dipercayai hasil kutipan bayaran parkir di kawasan itu.

“Ujian saringan urin turut dilakukan terhadapnya namun didapati negatif dadah dan remaja yang tidak lagi bersekolah itu kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengutip bayaran parkir tanpa lesen.

by Taboola
Dua atau tiga juta sudah cukup