Home » , » Stesen minyak kena serbu

Stesen minyak kena serbu

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 18 December 2016 | 18:33



KLANG – Seawal jam 8 pagi, deretan penunggang motosikal setia menunggu di Stesen Minyak Shell Persiaran Raja Muda Musa, di sini bagi mendapatkan petrol percuma.

Program '5 For a Smile' yang terhad kepada 500 penunggang motosikal sekitar Shah Alam itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Junior Chamber International (JCI) Bandar Klang.

Seorang pekerja swasta, Halim Yahya, 39, berkata, dia mengetahui tentang program itu menerusi kiriman aplikasi WhatsApp kumpulan penduduk di taman perumahannya.

“Saya baca kiriman WhatsApp sebelum pergi sendiri ke stesen minyak itu untuk dapatkan kesahihan. Ternyata perkara itu benar dan saya amat berterima kasih kepada insan yang menderma meskipun boleh mengisi sendiri minyak sebanyak RM5,” katanya.

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Sofea Adlin Adnan, 22, pula dimaklumkan jirannya berhubung pemberian petrol percuma sebelum menunggang motosikal milik ayahnya ke stesen berkenaan.

“Pemberian RM5 pun sudah memadai. Ini serba sedikit dapat membantu orang ramai yang berkesempatan mengisi minyak di stesen ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden JCI Bandar Klang, Jimmy Tan Chee Min berkata, program itu merupakan satu usaha kecil mereka untuk menyumbang sesuatu yang positif kepada komuniti dan masyarakat.

“Projek '5 For a Smile' ini adalah satu projek di mana kita akan memberikan petrol percuma kepada penunggang motosikal dengan nilai RM5.

“Walaupun nilai ini dilihat kecil, namun kita percaya sumbangan kecil ini mungkin besar nilainya kepada orang lain, setidak-tidaknya mampu membuatkan mereka tersenyum,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemberian petrol percuma tersebut merupakan anjuran JCI Bandar Klang serta mendapat sokongan daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Shell Malaysia.

Turut hadir ke program berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin; Pengurus Bahagian (Central) Shell Malaysia, Joari Jaafar dan Pengurus Besar Hup Kee Service Station Klang, Datuk Ng Kai Choon.

Selain itu, program itu juga diharap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk terus melakukan program amal untuk menyumbang sesuatu kepada komuniti memerlukan.

“Tidak semua projek amal atau sumbangan memerlukan dana yang besar untuk memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Saya percaya, program hari ini dapat membuka mata masyarakat untuk terus membantu mereka yang memerlukan dan tidak perlu malu melakukan kerja amal walaupun sekecil mana nilainya,” katanya.
--SINAR
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger