Tun M panggil kerajaan PN sebagai ‘kerajaan Muhyiddin’
Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 10 June 2020 | 16:09
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menggelarkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai ‘kerajaan Muhyiddin’.
Menurut Dr. Mahathir beliau terpaksa berbuat demikian kerana parti Perikatan Nasional tidak wujud.
Perikatan Nasional juga menurut Dr. Mahatir tidak pernah mengadakan majlis pelancaran dan tidak didaftar ketika Muhyiddin mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri.
“Saya terpaksa panggil kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sebagai kerajaan Muhyiddin. Ramai yang panggil kerajaan ini kerajaan Perikatan Nasional.
“Rakan dalam perikatan ini isytihar mereka bukan anggota dalam kononnya gabungan parti Perikatan Nasional.
“Mereka hanya benar ahli mereka sokong Muhyiddin supaya hasrat Muhyiddin untuk menjatuhkan Pakatan Harapan tercapai. Mereka tentukan jumlah wakil rakyat yang sokong Muhyiddin mencukupi,” kata Dr. Mahathir dalam serangan terbaharu terhadap Perdana Menteri ke-8 itu dalam blognya hari ini.
Dr. Mahathir turut mengulangi cerita bagaimana Muhyiddin sebagai Pengerusi Bersatu tidak pernah mendapat persetujuan parti untuk menyertai Perikatan Nasional.
Menurut Dr. Mahathir, tidak ada rekod Muhyiddin mendapat persetujuan Mesyuarat Agong Bersatu atau sekurang-kurangnya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk parti itu menyertai Perikatan Nasional.
“Tiba-tiba dia isytihar dia menyertai Perikatan Nasional. Berkenaan dengan keluar dari Pakatan Harapan pun belum diputus secara muktamad. Sebelum Pakatan Harapan dijatuh, Muhyiddin telah adakan majlis makan malam di Sheraton dengan PAS dan UMNO.
“Apabila saya sebagai Pengerusi Bersatu tidak bersetuju dengan tindakannya menubuh Kerajaannya, dia cuba adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang sepatutnya dipengerusi oleh saya sebagai Pengerusi parti.
“Tiba-tiba Muhyiddin isytihar dirinya sebagai Pengerusi Bersatu. Perisytiharan ini tidak mengikut perlembagaan sama sekali. Dia bukan Pengerusi atau memegang jawatan Pengerusi yang sah,” kata Dr. Mahathir mengulangi apa yang pernah beliau katakan sebelum ini dalam artikel yang turut dikongsi di media sosial miliknya.
Dr. Mahathir turut mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai kuasa untuk melucut keahlian Pengerusi, Timbalan Presiden dan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang tidak menyokongnya dalam Majlis Pimpinan Tertinggi pada 4 Jun lalu.
Dalam mesyuarat itu Dr. Mahathir mendakwa Muhyiddin melantik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang baru dan memecat ketua-ketua bahagian yang tidak menerima tawaranya.-SM
Share this article :
Labels:
Politik