SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim menggesa pertelingkahan dalam sayap parti itu melibatkan isu pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini tidak dipanjangkan.
Adam yang merupakan bekas aktivis mahasiswa berkata, sebagai pemimpin, mereka seharusnya melihat pada gambaran yang lebih besar.
“Kita sedar, kalau pemilihan yang baru kita tempuhi sebelum kita sampai ke hari ini, sedikit sebanyak menimbulkan calar dan balah antara sebahagian kita semua.
“Begitulah adat dalam pertandingan, akhirnya ada bersaing ada bertingkah, ada bertegang ada berbalah, namun sebagai pemimpin, ada kewajipan ke atas diri kita untuk melihat gambaran yang lebih besar.
“Janganlah kita berpanjang-panjangan dan terbawa-bawa dengan telingkah pemilihan yang lepas,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2022 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Jumaat.
Adam Adli turut menyeru agar ahli dalam sayap parti itu untuk kembali bermaafan antara satu sama lain.
“Andai ada salah dan khilaf, bermaaf-maafanlah kembali antara kita semua kerana di hadapan nanti, ada segunung cabaran yang sedang menanti kita,” katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, dengan perubahan landskap pilihan raya yang menyaksikan peningkatan besar pengundi baharu dan muda, tumpuan perlu dibuat bagi menggembleng sokongan golongan muda, dalam masa sama mengangkat kembali PKR dan Pakatan Harapan untuk memastikan kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang. -sinar