KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencetuskan perdebatan baharu apabila menegaskan kerajaan perlu mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memperkukuh asas kewangan negara.
Beliau berkata, isu utama bukan terletak pada nama cukai tersebut, sebaliknya keperluan membina sistem percukaian yang lebih mampan dan adil kepada semua pihak.
“Naikkan kembali GST. Nak guna apa nama pun, panggil apa pun… yang penting asas percukaian kita mesti kukuh dan adil.
“Panggillah apa pun boleh. Seperti Fair and Equitable Tax. Madani Tax! Sebab apa? Pendapatan kita tidak cukup,” katanya sebagai ahli panel program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Malaysia memerlukan sumber hasil yang stabil untuk menghadapi kemungkinan krisis ekonomi, pandemik atau konflik global yang boleh memberi tekanan besar kepada kewangan negara.
Katanya, sistem cukai sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan perbelanjaan kerajaan dalam jangka panjang, khususnya apabila bil subsidi negara terus meningkat.
“Cukai kita tak cukup dan pendapatan (negara) kita juga tak cukup.
“Saya kata, what if something happens? Macam Covid-19, tak pernah terjadi, sekarang sudah terjadi. Perang di Asia Barat contohnya, jadi saya kata, you (kerajaan) cannot cover dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan),” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, perbincangan mengenai GST tidak seharusnya dipolitikkan kerana langkah tersebut merupakan keputusan ekonomi yang sukar tetapi perlu dilakukan demi kepentingan rakyat.
“Adakah kerajaan sedar rakyat terhimpit pada hari ini dan kenapa kerajaan menguar-uarkan angka-angka yang baik? Itu memang kerja kerajaan,” soalnya lagi. SUMBA
