Home » » Isu video: Teresa perlu dikenakan tindakan

Isu video: Teresa perlu dikenakan tindakan

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 2 February 2014 | 02:51


KOTA KINABALU - Tindakan perlu diambil ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung video berbaur sindiran sempena Tahun Baharu Cina yang diterbitkannya baru-baru ini.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap tindakan ahli Parlimen itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, video bertajuk 'Onderful Malaysia' turut memaparkan seorang tetamu yang mempersendakan masyarakat Lahad Datu, khususnya dalam menarik pelancong ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
   
Beliau berkata perasaan masyarakat di Sabah, khususnya di Lahad Datu, masih bersedih (berikutan insiden pencerobohan militan dari selatan Filipina di Kampung Tanduo tahun lepas).
 
"Saya berharap sungguh agar tindakan diambil tentang perkara ini. Keselamatan di negara ini antara perkara yang cukup penting," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini hari ini.
   
Beliau menjelaskan insiden pencerobohan militan itu, yang turut mengorbankan anggota keselamatan negara yang bukan sahaja berasal dari Sabah, tetapi juga dari Sarawak dan Semenanjung, tidak harus diperkecilkan dan dijadikan bahan gurauan.
   
Dalam video yang dimuat naik dalam laman sesawang Youtube berdurasi 11:39 minit, seorang daripada tetamu dikenali sebagai Master Yan Yan berkata "you can travel to Sabah, where you get to see pirates, with a bonus show of kidnapping and scenes of open fire (anda boleh melancong ke Sabah dan berpeluang melihat lanun dengan pertunjukan bonus, penculikan dan babak tembakan)".  - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger