Wanita bersembunyi dalam almari elak dicekup
Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 9 February 2014 | 17:32
KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia bersembunyi dalam almari apabila sepasukan anggota penguat kuasa jabatan imigresen menyerbu penempatan warga asing di Pantai Dalam, di sini, semalam.
Wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri itu, memberi alasan pasportnya dipegang oleh majikan.
Dia antara 37 warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Kuala lumpur dalam serbuan di perkampungan warga asing itu kira-kira jam 11 malam.
Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, dalam serbuan itu, lebih 157 warga asing dari Indonesia diperiksa.
“Hasil pemeriksaan 37 warga asing termasuk 22 wanita tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Kita turut menahan seorang lelaki yang juga penduduk tetap (PR) yang dipercayai cuba melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.
James berkata, pihaknya menerima maklumat dan aduan awam mengenai kewujudan perkampungan warga asing itu, lalu membuat intipan sebelum menyerbu lokasi berkenaan.
“Kita percaya kebanyakan warga asing yang menyewa rumah di situ menjadikan kawasan berkenaan seperti perkampungan di Indonesia. Tindakan mereka mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Seramai 70 anggota dari pelbagai jabatan terlibat dalam operasi yang berlangsung selama dua jam itu, antaranya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kita mendapati warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan memiliki permit dipercayai palsu,” katanya.
Beliau berkata, operasi tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa dan meminta orang awam memberi maklumat jika terdapat pendatang tanpa izin di kawasan mereka.
“Kesemua warga asing yang berusia 18 hingga 55 tahun itu dibawa ke lokap tahanan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta,” katanya, lapor Sinar Harian.
Share this article :
Labels:
Semasa